BOLA BALING: MELAKA AKHIRI KEMARAU LEBIH 20 TAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

PAYA RUMPUT 3 November – Melaka menamatkan kemarau lebih dua dekad dalam sukan bola baling selepas muncul johan Kejohanan Bola Baling Bawah 20 Tahun Kebangsaan bagi kategori lelaki.

Jurulatih Melaka, Muhammad Iylia Fikri Sadarani berkata, kemenangan itu dianggap luar biasa memandangkan kali terakhir Melaka menjulang trofi juara peringkat kebangsaan adalah sekitar tahun 1990-an.

Dia berkata, pujian harus diberikan kepada anak buahnya yang menunjukkan disiplin dan mental yang kuat sepanjang perlawanan, apabila berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk memenangi perlawanan.

“Sebelum ini kita pernah memenangi pertandingan di peringkat kelab-kelab, namun di peringkat kebangsaan ini merupakan satu bonus kerana sudah lama kita tidak menjulang trofi besar seperti ini.

“Saya percaya resipi utama kemenangan ini datangnya daripada disiplin tinggi dan mental yang kuat dalam diri pemain yang mahu membuktikan sesuatu sehingga minit terakhir permainan,” katanya.

Pada aksi final di Kompleks Sukan Komuniti Krubong, di sini, pasukan lelaki Melaka muncul johan selepas menewaskan Pahang 42-41, sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,500, medal dan piala pusingan.

Hadiah kepada pemenang telah disampaikan Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.

Dalam pada itu, Muhammad Iylia Fikri memaklumkan selepas ini pasukan bola baling Melaka akan giat menyertai lebih banyak kejohanan yang dianjurkan sama ada di peringkat kelab mahupun kebangsaan.

Jelasnya, ia sebagai persiapan awal sebelum temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang dijadual diadakan di Selangor.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

196
Kongsi :
Previous post KUAM 2024 DISERBU PELANCONG LUAR NEGARA
Next post KUAM 2024 CIPTA MEMORI INDAH DATUK DAN CUCU
Ubah saiz-+=