Boleh dapat pampasan jika ada kesan sampingan vaksin COVID-19 – Mohd Redzuan

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

ALOR GAJAH 27 Mac – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dipertanggungjawabkan menguruskan pembiayaan pampasan kepada individu yang mengalami kesan mudarat akibat vaksin COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, bantuan khas kewangan menerusi Kumpulan Wang Bantuan Amanah Bantuan Bencana Negara itu adalah langkah proaktif kerajaan untuk menghadapi kemungkinan jika berlaku kesan sampingan (adverse effects) daripada penggunaan vaksin.

MOHD REDZUAN menyampaikan peralatan persekolahan sumbangan TNB kepada murid pada program Ceria ke Sekolah Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Dewan Anggerik, Melekek Alor Gajah. Gambar Din Ahmad.

“Sebenarnya perkara ini tak perlu dibangkitkan tapi oleh kerana ada pihak dah uar-uarkan jadi kita telah mewujudkan dana untuk kita beri pampasan sekiranya suntikan vaksin COVID-19 yang diberikan secara percuma oleh kerajaan itu mempunyai kesan sampingan.

“Untuk itu, Sekiranya ada sampingan maka jadi kita wujudkan dana Kumpulan Wang Bantuan Amanah Bantuan Bencana Negara untuk orang-orang yang ada isu perubatan dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Ceria Ke Sekolah anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bagi Parlimen Alor Gajah di Dewan Anggerik Malaysia, Melekek, di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. usaini Husin, Ketua Retail TNB Melaka, Khairizam Ibrahim dan Pegawai Daerah Alor Gajah, Encik Rahizi Ranom.

Pada masa sama, Mohd Redzuan menegaskan rakyat tidak perlu risau kerana petugas kesihatan di negara ini akan memastikan setiap individu layak menerima vaksin tidak mempunyai masalah kesihatan yang teruk.

“Selalunya petugas kesihatan akan lebih tegas jika seseorang itu ada masalah kesihatan. Macam kalau saya saya ada darah tinggi, masalah jantung dan buah pinggang selalunya kita tak beri suntikan.

“Siapa yang ada isu kesihatan yang besar, pesakit buah pinggang, jantung, darah tinggi, petugas kesihatan itu sendiri atau pakar-pakar tertentu akan memastikan sama ada anda boleh disuntik atau tidak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan kebimbangan terhadap tahap keyakinan rakyat Malaysia untuk menerima vaksinasi COVID-19 memandangkan data yang diterima menunjukkan penerimaan orang ramai masih berada pada tahap kurang memuaskan dengan 68 peratus.

Justeru, beliau di peringkat kerajaan akan berusaha menggalakkan rakyat mengambil vaksin tersebut melalui pelbagai inisiatif termasuklah pemerkasaan komuniti Agen Basmi COVID-19 (ABC-19) yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

779
Kongsi :
Previous post 2,140 saman trafik ‘langsai’ dalam tempoh 2 hari
Next post FAMA Melaka sasarkan 240 usahawan sepanjang 2021
Ubah saiz-+=