FAMA Melaka sasarkan 240 usahawan sepanjang 2021

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

AYER MOLEK 27 Mac.- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka menyasarkan pertambahan 240 usahawan hingga hujung tahun ini dalam usaha memasarkan lebih banyak produk.

Ahli Lembaga Pengarahnya Datuk Wira Ghazale Muhamad berkata, sehingga kini FAMA negeri mempunyai 122 usahawan yang berada di bawahnya dalam menyertai penganjuran program yang diadakan termasuk MyBest Buy, Bazar MyRakyat dan Melaka Agro Market.

“Dalam usaha mencapai jumlah ditetapkan itu setiap daerah kita sasarkan 80 usahawan menyertai kita dan terbabit penganjuran program yang diadakan.

“Sehingga kini di Melaka Tengah kita mempunyai 47 usahawan yang aktif, Jasin (30) dan Alor Gajah (45). Selain itu kita amat menggalakkan pembabitan usahawan muda,” katanya pada Program Jualan MyRakyat di Agrobazaar Rakyat, Taman Paya Dalam dekat sini.

 

RAHMAD dan Ghazale melihat durian musang king yang dijual di Jualan MyRakyat.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek.

Mengulas lanjut Ghazale yang juga Timbalan Speaker berkata, ekoran pandemik COVID-19 yang melanda ramai golongan muda kini mula menceburi bidang pertanian sebagai punca pendapatan.

“Di Melaka kita mempunyai kira- kira 70 usahawan muda dan kita galakkan lebih ramai menceburinya malah saya sendiri lihat ramai yang mula terbabit dengan pertanian seperti menanam jagung serta cili,” katanya.

Menurut Ghazale, sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiada berlaku kekurangan bekalan makanan dilaporkan sebaliknya FAMA negeri turut membantu beberapa negeri yang berlaku lambakan hasil pertanian seperti Johor dan Pahang.

“Seperti di Johor berlaku lambakan hasil nanas jadi kita membantu membelinya dan dipasarkan di Melaka sama seperti strawberi dari Pahang yang mana kita membelinya dengan harga lebih murah,” katanya.

Sementara itu Rahmad berkata, pihaknya meminta kepada FAMA untuk menganjurkan pasar pagi di kawasan Ayer Molek bagi menyemarakkan lagi industri tani serta memudahkan penduduk setempat mendapatkan barangan keperluan.

“Sebelum ini di Ayer Molek ada pasar pagi, namun sekarang tiada lagi, jadi kita meminta FAMA untuk melihat kembali akan keperluan penganjuran pasar pagi berkenaan.

“Malah hari ini juga dalam ‘walkabout’ kami mendapat reaksi positif dari usahawan dan mereka melahirkan rasya syukur kerana dapat kembali berniaga sekali gus menjana pendapatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

805
Kongsi :
Previous post Boleh dapat pampasan jika ada kesan sampingan vaksin COVID-19 – Mohd Redzuan
Next post 49 kontak rapat dikenal pasti membabitkan kes positif pelajar sekolah rendah
Ubah saiz-+=