49 kontak rapat dikenal pasti membabitkan kes positif pelajar sekolah rendah

0
11867
RAHMAD memotong puding bersama Ghazale sebagai simbolik perasmian Program Jualan MyRakyat.

AYER MOLEK 27 Mac. – Jangkitan daripada ahli keluarga terdekat dikenal pasti punca seorang pelajar sekolah rendah daerah Melaka Tengah disahkan positif COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, berikutan kes itu seramai 49 kontak rapat dikenal pasti dan ujian saringan ke atas mereka sudah dijalankan kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman. Foto fail.

“Terdapat satu kes (COVID-19) pelajar sekolah berusia tujuh tahun… jangkitan daripada ibu bapanya yang mendapat jangkitan daripada ahli keluarga yang bekerja di kawasan industri Lot 6, Batu Berendam.

“Seramai 49 kontak rapat itu adalah lapan guru dan selebihnya pelajar didapati negatif hasil saringan pertama dan saringan kedua akan dilakukan dalam tempoh seminggu lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas ‘walkabout’ Program Jualan MyRakyat yang turut dihadiri Timbalan Speaker Datuk Wira Ghazale Muhamad di Agrobazaar Rakyat, Taman Paya Dalam.

Mengulas lanjut beliau berkata, sesi persekolahan berjalan seperti biasa dan tiada sebarang penutupan dibuat dengan proses sanitasi dilakukan oleh pasukan bomba.

Sementara itu, mengulas situasi denggi di negeri ini, Rahmad berkata, sejak Januari
hingga semalam kes denggi direkodkan menurun 61.85 peratus bersamaan
256 kes.

Beliau berkata, hanya satu kes terbaru direkodkan iaitu di Taman Tun Kudu semalam, selain tiada lokaliti wabak baru dan wabak tamat dilaporkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

“Di daerah Melaka Tengah kes denggi terkini direkodkan sebanyak 202 iaitu menurun 60 peratus, begitu juga di Alor Gajah menurun 61.90 peratus (32 kes) dan Jasin menurun 73.17 peratus (22 kes).

“Secara kumulatif terdapat empat wabak aktif di Melaka iaitu di Kampung Paya Ikan; Taman Paya Dalam; Kampung Attap dan Pangsapuri Hilir Kota membabitkan Blok M, N, P, Q, R, S) kesemuanya di daerah Melaka Tengah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.