ABC-19 dilancarkan kerana tidak ramai daftar PICK

Masa Membaca:2 Minit, 16 Saat

GADEK 27 Mac – Hanya 19 peratus atau seramai 6,529,706 rakyat mendaftar untuk mendapat suntikan vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat 24 Mac lalu.

Jumlah itu masih rendah dari sasaran inisiatif untuk membentuk sekurang-kurangnya 80 peratus komuniti yang memiliki imuniti untuk melawan pandemik berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof berikutan itu kerajaan akan melancarkan Agen Basmi COVID-19 (ABC-19) pada peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dan daerah pada Isnin ini.

MOHD REDZUAN beramah mesra dengan murid yang menerima peralatan persekolahan sumbangan TNB pada program Ceria ke Sekolah TNB di Dewan Anggerik, Melekek Alor Gajah.
– Foto DIN AHMAD

“Program itu ia akan dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Inisiatif ini membabitkan seluruh komuniti bagi mengekang penularan COVID-19 dalam komuniti dengan menggunakan pendekatan ‘bawah-ke-atas’ bagi memperkasa komuniti melaksanakan aktiviti pemantauan dan tindakan bagi mengurangkan penularan pandemik itu,” katanya selepas merasmikan program Ceria ke Sekolah Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Dewan Anggerik, Melekek di sini, hari ini.

Seramai 100 murid dalam Parlimen Alor Gajah menerima sumbangan beg dan peralatan sekolah sumbangan TNB. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir Husaini Husin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ABC-19 berfungsi sebagai serampang dua mata yang melaksanakan program pemerkasaan komuniti, selain menggalas tanggungjawab sebagai Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi menggalakkan anggota komuniti mendaftar bagi mendapatkan vaksin COVID-19.

Perdana Menteri pada Mesyuarat Sidang Majlis Keselamatan Negara pada 29 Januari lalu bersetuju bahawa Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang bakal dikenali sebagai Agen Basmi COVID-19 (ABC-19) bersama-sama Kementerian Kesihatan Malaysia serta Polis Diraja Malaysia untuk melaksanakan tindakan pemerkasaan komuniti.

Ia meliputi aktiviti seperti pemantauan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19; memberi nasihat, teguran dan panduan buat ahli komuniti mengenai pencegahan penularan COVID-19 dalam komuniti dan menghebahkan pendidikan kesihatan tentang langkah pencegahan COVID-19.

Sementara itu, mengenai belia tempatan mengikuti program latihan perindustrian di Jepun, beliau berkata, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) di bawah JPM bekerjasama dengan ‘Japan Graduates Association of Malaysia’ (JAGAM) bagi mengenal pasti bidang latihan itu.

“Jepun hanya membenarkan rakyat lapan negara asing bekerja di negara itu dan kita minta kerajaan atau industri di negara itu memberikan latihan kepada belia kita kerana latihan dikira sebagai bekerja.

“Yayasan Peneraju membantu usaha mendapatkan kerjasama kerajaan dan peneraju perindustrian Jepun untuk menggunakan tenaga mahir rakyat kita dalam industri yang dibawa oleh pelabur Jepun di negara kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

540
Kongsi :
Previous post 49 kontak rapat dikenal pasti membabitkan kes positif pelajar sekolah rendah
Next post Kelestarian kepemimpinan Melayu perlukan kerjasama pelbagai parti
Ubah saiz-+=