HARI KEBANGSAAN MELAKA: ASPEK KESELAMATAN JADI KEUTAMAAN

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BANDARAYA MELAKA 23 Ogos – Persiapan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Melaka kini berjalan lancar mengikut jadual dengan kerja menaik taraf dan penyelenggaraan laluan perarakan serta kawasan utama sambutan dipergiat bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengunjung.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, kerja persiapan itu dilaksanakan secara bersepadu menerusi jawatankuasa kerja yang turut diketuai Exco-Exco mengikut portfolio masing-masing.

Katanya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Melaka khususnya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), bersama agensi berkaitan turut digerakkan bagi memastikan semua aspek persiapan berada pada tahap terbaik.

“Persediaan berjalan lancar mengikut jadual. PBT seluruh Negeri Melaka, terutamanya MBMB serta agensi berkaitan telah memulakan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan di sepanjang laluan perarakan utama, kawasan acara utama, lokasi usahawan serta kawasan parkir awam.

“Kita memastikan laluan, pencahayaan dan fasiliti berada pada tahap yang terbaik. Fokus kita bukan sahaja pada aspek estetika, tetapi paling penting ialah keselamatan dan keselesaan peserta perarakan serta pengunjung yang hadir,” katanya ketika bersiaran di MELAKAfm bagi membicarakan Persediaan Logistik, Keselamatan dan Perpaduan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026, di sini, hari ini.

Menurut Hee Sem, persiapan di lokasi sambutan turut dipantau secara berkala menerusi beberapa lawatan tapak yang diketuai sendiri Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bagi memastikan segala persiapan berjalan seperti dirancang.

Beliau berkata, aspek kesihatan awam turut diberi perhatian khusus memandangkan sambutan tahun ini dijangka menarik kehadiran khalayak yang ramai.

“Keselamatan dan kesihatan awam juga diberi perhatian kerana kita mengalu-alukan kehadiran khalayak yang ramai dan para petugas kesihatan kita telah menambah baik persediaan bagi sambutan kali ini,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Melaka berlangsung pada 29 hingga 31 Ogos ini dengan Dataran 1 Malaysia, Klebang menjadi lokasi utama pelbagai pengisian termasuk Karnival Civil-Military Cooperation (CIMIC), Melaka Berselawat, Ambang Merdeka serta acara kemuncak perbarisan dan perarakan pada 31 Ogos.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

363
Kongsi :
Previous post KETUA MENTERI TURUN PADANG JUMPA RAKYAT MACHAP JAYA, ASAHAN ESOK