1,000 JALUR GEMILANG HIDUPKAN SEMANGAT MERDEKA DI JASIN

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

JASIN 23 Ogos – Sebanyak 1,000 Jalur Gemilang menghiasi enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pentadbiran Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), sekali gus menyemarakkan suasana Bulan Kebangsaan di daerah berkenaan.

Yang Dipertua MPJ, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, pemasangan Jalur Gemilang itu dilaksanakan di lokasi strategik dan kawasan tumpuan awam yang menjadi laluan utama orang ramai.

Menurutnya, antara lokasi yang dipilih termasuk persimpangan lampu isyarat dan bulatan bagi memastikan Jalur Gemilang dapat dilihat dengan jelas oleh masyarakat.

“Pemilihan lokasi ini bertujuan memastikan Jalur Gemilang dapat dilihat dengan jelas oleh orang ramai, sekali gus mewujudkan suasana yang lebih ceria, meriah dan patriotik sepanjang Bulan Kebangsaan.

“Pemasangan di lokasi tumpuan turut menjadi simbolik kepada semangat kebersamaan masyarakat dalam meraikan Hari Kebangsaan dan menghargai kemerdekaan yang telah dikecapi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Muhammad Zahiruddin berkata, inisiatif berkenaan bukan sekadar menceriakan persekitaran, sebaliknya menjadi medium untuk menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan warga kerja MPJ serta komuniti setempat.

Katanya, MPJ turut menggalakkan warga kerja, komuniti, premis perniagaan dan orang awam mengibarkan Jalur Gemilang di premis, kediaman serta kenderaan masing-masing.

“Semangat mengibarkan Jalur Gemilang ini diharap mendapat sambutan menggalakkan dan menjadi budaya dalam kalangan masyarakat, bukan sahaja sempena Bulan Kebangsaan, tetapi sebagai lambang kecintaan berterusan terhadap tanah air,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, MPJ turut memanfaatkan platform media sosial rasmi sebagai medium hebahan dengan menyampaikan ucapan, maklumat serta kandungan bertemakan kemerdekaan kepada masyarakat.

Langkah berkenaan diharap dapat menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan 2026 serta menggalakkan lebih ramai masyarakat menzahirkan semangat cintakan negara menerusi pengibaran Jalur Gemilang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

389
Kongsi :
Previous post HARI KEBANGSAAN MELAKA: ASPEK KESELAMATAN JADI KEUTAMAAN