RM1 JUTA UBAH WAJAH KAMPUNG ALAI

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

TELOK MAS 22 Ogos – Kampung Alai kini menerima pelbagai kemudahan yang bukan sahaja menceriakan persekitarannya, malah memberi manfaat langsung kepada penduduk menerusi kesinambungan Program Kampung Angkat MADANI oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, UPNM menyalurkan peruntukan RM1 juta daripada Kementerian Kewangan bagi pembangunan infrastruktur fizikal di kampung itu.

Menurutnya, antara pembangunan yang dilaksanakan termasuk pembinaan gelanggang futsal baharu serta menaik taraf masjid dan tanah perkuburan.

“Inisiatif ini turut dilaksanakan menerusi Program Ajak Sekampung Santuni MADANI yang memberi tumpuan kepada keperluan dan kesejahteraan masyarakat setempat, khususnya di Kampung Alai.

“Program ini bukan sekadar untuk dilaksanakan, tetapi lebih penting ialah manfaatnya dapat dirasai masyarakat setempat. Saya amat bangga kerana DUN Telok Mas dipilih dan berharap program ini akan ada kesinambungan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Ajak Sekampung Santuni MADANI yang disempurnakan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad di Sekolah Kebangsaan (SK) Alai di sini, hari ini.

Abdul Razak yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri menghargai komitmen UPNM dalam memastikan manfaat universiti itu dapat dirasai masyarakat, khususnya penduduk Kampung Alai.

“Apa yang dibawa universiti ini memberi limpahan dan manfaat kepada orang Alai. Saya berharap kerjasama dengan UPNM dapat diteruskan supaya lebih banyak manfaat dapat disalurkan kepada komuniti setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

434
Kongsi :
Previous post PPSPM CAPAI 70 PERATUS SASARAN PENGUNJUNG