Kelestarian kepemimpinan Melayu perlukan kerjasama pelbagai parti

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

GADEK 27 Mac – Kepemimpinan Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak mampu didukung oleh hanya satu parti, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai parti yang memperjuangakan kepentingan Melayu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof menegaskan, kelestarian kepemimpinan Melayu harus dipertahankan melalui gabungan parti yang memperjuangkan dan mempertahankan kepentingan Melayu.

“Dalam PRU-15 kelak, siapa yang hendak bentuk kerajaan kalau bukan gabungan parti Melayu dalam jajaran baru?

“Kepemimpinan Melayu harus dipertahankan kerana takkanlah kita hendak tengok saja negara kita berkembang maju dan orang Melayu terus ketinggalan?,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan alat persekolahan di Dewan Anggerik, Melekek di sini hari ini.

Seramai 100 murid dalam Parlimen Alor Gajah menerima sumbangan Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada program Ceria ke Sekolah yang turut dihadiri Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir Husaini Husin.

Mohd Redzuan menegaskan, selepas PRU-14, rakyat melihat kemampuan kerajaan sedia ada menerajui pentadbiran negara dan yakin dengan kepemimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa kemajuan untuk rakyat pelbagai agama dan bangsa.

Katanya, tiada gunanya parti yang memperjuangkan dan memelihara kepentingan Melayu bertelagah sesama sendiri menjelang PRU-15 kerana ia hanya akan merugikan masyarakat Melayu.

Sehubungan itu, BERSATU akan meneruskan kerjasama dengan PAS dan parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) kerana yakin ia mampu memberi manfaat kepada rakyat pelbagai bangsa dan agama, katanya.

Diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berucap merasmikan mesyuarat ketiga-tiga sayap parti pada Perhimpunan Agung UMNO 2020, Mohd Redzuan berkata, pemimpin UMNO bebas menyatakan pendapat sejajar demokrasi dipraktikkan di negara ini.

Bagaimanapun, rakyat bijak membuat penilaian mengenai parti yang benar-benar menjaga kepentingan rakyat dan bakal membuat pilihan dalam PRU-15 kelak, katanya.

Mohamad dilaporkan berkata, pemimpin serpihan parti Melayu yang baru setahun jagung usianya, tidak harus berbicara mengenai perpaduan ummah dengan UMNO kerana tidak mempunyai rekod menyatupadukan bangsa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

462
Kongsi :
Previous post ABC-19 dilancarkan kerana tidak ramai daftar PICK
Next post The Company: Looting the Jewel in the Kedah Crown
Ubah saiz-+=