Bomba pertimbang kenaikan pangkat Mohd Diya

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

PAYA RUMPUT 21 Okt – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mempertimbangkan kenaikan pangkat Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh yang lemas dibawa arus ketika membantu mangsa banjir di Kampung Sungai Putat, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab berkata, perkara itu bagaimanapun akan diteliti terlebih dahulu memandangkan Allahyarham baharu sahaja dinaikkan pangkat dengan memegang pangkat Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP).

Katanya, Allahyarham yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka tengah merupakan anggota bomba yang berdedikasi tinggi serta mempunyai kemahiran menyelam di Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) sejak 2006.

“Allahyarham merupakan ahli PPDA sejak 2006 lagi dan semestinya mempunyai pengalaman asas yang cukup luas. Itu (kenaikan pangkat) kita akan pertimbangkan dan beliau sebenarnya baru mendapat KUP 22 yang mana baru sahaja dinaikkan pangkat.

“Jadi kita akan bawa ke peringkat lebih tinggi untuk pertimbangkan dan jika ada ruang, Insha-Allah kita akan buat sebagaimana pada Allahyarham Muhammad Adib sebelum ini,” katanya selepas memberi penghormatan terakhir di Tanah Perkuburan Islam Krubong, di sini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Operasi JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad dan Pengarah JBPM Melaka Abu Bakar Katain.

ANGGOTA bomba cuba memberi bantuan awal kepada mangsa dalam kejadian banjir petang semalam. (Gambar kecil: Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh)

Mengulas lanjut Abdul Wahab berkata, sebagaimana kes yang melibatkan kematian anggota, pihaknya akan membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian selain menambah baik kelemahan pasukan.

“Jabatan akan menubuhkan pasukan siasatan dalaman untuk melihat setiap sudut, sekiranya ada ada kekurangan akan ditambah baik, supaya perkara seumpama ini tidak akan berulang.

“Selepas ini kita akan menyampaikan pendahuluan bantuan awal sebanyak RM3,000 dan juga sumbangan warga bomba serta pelbagai lagi termasuk Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan (TAPPN), jadi anggarannya lebih kurang RM350,000 bagi membantu meringankan kehidupan keluarga,” tambahnya.

Allahyarham Mohd Diya menghembuskan nafas di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka pada jam 3.11 pagi  tadi selepas dilaporkan kritikal ketika menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat, semalam.

Dalam kejadian pada jam 5.30 petang itu, Allahyarham dipercayai tidak sedarkan diri selepas dibawa arus deras ketika memasang tali bagi mengeluarkan mangsa terperangkap banjir.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Noraida Che Nor, 39 dan empat anak iaitu, Muhammad Daniel Hakime Mohd Diya, 18, Nurul Ain Balqis, 16 dan Muhammad Danish Hakim, 12 serta Nurul Anisa Ilya, 9.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

513
Kongsi :
Previous post Pelan pemulihan banjir berulang akan segera dibincang – KM
Next post Cadang warta Pulau Undan jadi Taman Laut Negara
Ubah saiz-+=