Bot hanyut: Tiga nelayan selamat bertahan minum air
KEPALA BATAS, 22 Mac – Tiga nelayan yang diselamatkan bot pukat tunda semalam, hanya bertahan dengan minum air sepanjang lebih 24 jam hanyut di laut selepas bot yang dinaiki mereka kehabisan minyak ketika menangkap ikan di perairan Teluk Bahang, dekat sini pada Ahad (20 Mac).
Mangsa, Muhammad Firdaus Shamsudin, 34; Afzanizul Zakaria, 44; dan Ruzaini Saad, 43; keluar menangkap ikan dari Pangkalan Sungai Tembus, Penaga pada 5 pagi, Ahad dan sepatutnya pulang ke jeti sebelum 12 tengah hari, hari yang sama.
Selepas bot mereka kehabisan minyak mereka terkandas di tengah laut dan kemudian bot mereka hanyut dibawa arus hingga ke kawasan perairan Langkawi, Kedah sebelum diselamatkan bot pukat tunda yang sedang menangkap ikan, pada 7 malam semalam.
Menceritakan detik cemas itu, Afzanizul berkata bot yang dinaiki secara tiba-tiba kehabisan minyak ketika bersiap sedia hendak pulang ke jeti dan dalam masa sama bekalan makanan juga sudah habis kerana mereka selalunya turun ke laut kira-kira enam hingga tujuh jam sahaja.
“Memang ada air sahaja dan waktu itu juga tak nampak bot lain berhampiran kami…jadi kami hanya bertahan dengan meminum air semata-mata dan sepanjang tempoh hanyut, saya dan dua lagi rakan hanya mampu berdoa supaya selamat kerana fikirkan keluarga di Penaga.
“Ketika hanyut, berlaku ribut malam itu (Ahad) dan kami bertiga bertindak baring di dalam bot kerana bimbang keselamatan serta dalam masa sama berharap bot tidak terbalik dipukul ombak besar. Alhamdulillah mujur semalam ada bot lain yang ternampak kami, lalu mereka membantu melancarkan urusan kami sehingga pulang ke jeti hari ini,” katanya ketika ditemui di Jeti Pangkalan Sungai Tembus, di sini hari ini.
Rakannya, Ruzaini berkata sebaik diselamatkan bot pukat tunda itu, mereka diberikan makanan dan minuman serta membantu menarik bot nelayan dengan turut memberikan bekalan minyak supaya dapat kembali semula ke jeti hari ini.
“(Ketika kejadian) kami cuba hubungi rakan-rakan lain namun talian telefon bimbit memang tiada sepanjang tempoh bot hanyut dan ketika ini, kami hanya mampu berserah kepada Allah sahaja namun tetap berdoa supaya selamat. Alhamdulillah akhirnya ada bot lain nampak kami dan saya bersyukur sangat dan berterima kasih kepada nelayan yang membantu,” katanya sambil memaklumkan ini pengalamannya yang pertama bot hanyut sepanjang hampir 10 tahun menjadi nelayan.
Ibu kepada Afzanizul, Rohani Ali yang turut berada di jeti itu sejak awal pagi semalam selepas dimaklumkan bot nelayan tidak pulang dan gagal dikesan, bersyukur kerana anak kelima daripada enam beradik tersebut pulang bersama dua lagi nelayan yang juga anak kepada sepupunya dengan selamat.
“Selepas dimaklumkan bot mereka hilang, saya dan keluarga hanya mampu berdoa dan kami turut membaca Yasin supaya mereka dapat ditemui dengan selamat. Alhamdulillah mereka ditemui selamat dan saya berterima kasih kepada semua pihak terlibat dalam operasi mencari ini,” katanya yang beberapa kali menahan sebak kerana gembira anaknya selamat.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Mohd Radzi Ahmad yang turut berada di jeti itu berkata tiga nelayan berkenaan berada di perairan Teluk Bahang untuk menangkap ikan sebelum bot dinaiki mereka kehabisan minyak ketika mahu pulang ke jeti dan bot hanyut dibawa arus hingga ke kawasan perairan Langkawi.
Katanya tiga nelayan itu menggunakan kaedah mengibarkan bendera merah bagi mendapatkan bantuan dan ketika terkandas di tengah laut sebuah bot pukat tunda nelayan Tanjung Dawai yang melalui kawasan tersebut menyelamatkan mereka kira-kira 7 malam semalam.
“Susulan itu, bot mereka ditunda ke Pulau Bidan di daerah Yan, Kedah dan kesemua mangsa berehat di sana sebelum diberikan tiga tong petrol oleh nelayan tersebut untuk pulang semula ke jeti nelayan di Sungai Tembus, di sini dan tiba kira-kira 10.30 pagi, tiga nelayan itu dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pulau Pinang Kept Abd Razak Mohamed berkata mayat warga Thailand yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaikinya bersama dua lagi nelayan, karam akibat kejadian angin kuat semalam telah ditemukan di kawasan berhampiran Pulau Kendi dekat sini hari ini.
Katanya mangsa, Sorawit Thapchaiyut ditemui dalam keadaan badannya tersangkut pada pukat berdekatan bot berkenaan kira-kira 10 pagi dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.
Dalam kejadian itu, dua nelayan selamat iaitu Tan Soon Gin, 36, dan warga Thailand, Pai San Chu Kaw, 40-an manakala seorang lagi dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka tenggelam di perairan Pulau Kendi antara 5 hingga 6 pagi semalam ketika mereka sedang menangkap ikan di lokasi berkenaan.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.