Bot karam di Semporna: Jururagan ditahan bantu siasatan – Polis

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

SEMPORNA, 15 April – Polis hari ini menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 64 tahun yang merupakan juragan sebuah bot yang karam, menyebabkan lima penumpangnya lemas berdekatan perairan Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Semporna Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata penahanan lelaki itu adalah bagi membantu siasatan kejadian itu, di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu kerana menyebabkan kematian dengan cuai.

“Pihak polis telah membuat tangkapan pada 12.50 tengah hari tadi dan beliau akan direman untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, dua kanak-kanak masih hilang iaitu Noranis Harimalam, 14, dan Aiman, 7, manakala 14 penumpang berjaya diselamatkan orang ramai.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna Komander Maritim Norrimi Hassan berkata lima mangsa yang meninggal dunia, dikenali sebagai Bunga Basah Nuhalan, 40; Anisa Harimalam, 20; Syawal, 2; Iman, 2; dan Nurul Syafiqah, 4 tahun.

“Lima mangsa yang meninggal dunia dan dua mangsa yang hilang itu mempunyai ikatan kekeluargaan, lokasi pencarian kini diluaskan lagi sehingga 68 batu nautika dari lokasi kejadian,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Norrimi berkata lebih kira-kira 60 anggota penyelamat terdiri daripada APMM, bomba serta Pasukan Polis Marin dan orang kampung, kini giat melakukan pencarian dua mangsa yang belum ditemui.

Menurutnya kejadian bot karam itu dipercayai berlaku akibat cuaca buruk serta keadaan ombak besar.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1201
Kongsi :
Previous post DUN Machap Jaya: Hee Sem teruja belajar buat kuih puteri mandi
Next post Mayat lelaki tanpa identiti dijumpai di tepi Jalan Sepang-Salak
Ubah saiz-+=