Bot pelancong dan bot nelayan bertembung, 10 cedera

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

JERTIH, 31 Jan – Sepuluh orang termasuk dua kanak-kanak berusia 11 dan 12 tahun cedera apabila bot pelancong yang mereka naiki bertembung dengan bot nelayan di muara Sungai Besut di Jeti Pelancongan Kuala Besut di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata 21 lagi individu yang menaiki bot pelancong tersebut terselamat dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.30 petang itu.

“Bot yang dinaiki pelancong tersebut berlepas dari Jeti Pulau Perhentian pada pukul 2.30 petang dan insiden itu berlaku setibanya mereka di Jeti Pelancongan Kuala Besut kira-kira satu jam kemudian,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata lima anggota Polis Diraja Malaysia, lapan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia berserta orang awam terlibat dalam operasi menyelamat mangsa.

Abdul Rozak berkata insiden tersebut telah dirujuk kepada Jabatan Laut Malaysia untuk tindakan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Besut Kapt (PA) Ramlan Ros Wahid berkata difahamkan insiden berlaku ketika bot pelancong tersebut sedang memasuki kawasan jeti, manakala bot yang dinaiki tiga nelayan ingin keluar dari kawasan itu.

“Kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan menerima rawatan di Hospital Besut serta Klinik Kesihatan Kuala Besut,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

952
Kongsi :
Previous post Wanita dakwa diperdaya bayar RM109,200 untuk komputer riba tak wujud
Next post Ops TBC: 24,708 kenderaan disaman dalam tempoh enam hari – KP JPJ
Ubah saiz-+=