Wanita dakwa diperdaya bayar RM109,200 untuk komputer riba tak wujud

KUANTAN, 1 Feb – Hasrat seorang wanita mahu membeli tiga komputer riba bukan sahaja tidak kesampaian, malah dia turut mendakwa kerugian RM109,200 yang dibayar kepada penjual melalui urusan secara dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 32 tahun mendakwa telah berurusan dengan seorang lelaki menerusi nombor talian WhatsApp selepas melihat iklan penjualan barangan itu di laman sosial Instagram pada pertengahan Januari lepas.

“Mangsa tertarik untuk mendapatkan komputer riba itu dan telah memasukkan wang deposit sebagai tanda persetujuan sebelum diarahkan untuk memindahkkan lebih banyak wang secara dalam talian ke lima akaun berbeza yang diberikan suspek atas pelbagai alasan.

“Antara alasan yang digunakan ialah kos penghantaran, urusan mengaktifkan kad jaminan, cukai kastam dan untuk melayakkan mangsa menyertai cabutan bertuah yang akhirnya tanpa sedar, mangsa telah membuat bayaran sebanyak 15 kali sehingga berjumlah RM109,200,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa mula berasa curiga kerana belum menerima komputer riba itu selepas hampir dua minggu berurusan, selain tindakan suspek yang semakin kerap menghubunginya bagi meminta lebih banyak wang sejak beberapa hari lepas.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

241
Previous post Singa, naga kembali ‘beraksi’
Next post Bot pelancong dan bot nelayan bertembung, 10 cedera