Sorting by

×

Singa, naga kembali ‘beraksi’

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

MELAKA 31 Jan – Sambutan Tahun Baharu Cina tidak bermakna tanpa persembahan tarian singa dan naga kerana ia mempunyai simbolik tersendiri dalam menterjemahkan kebudayaan masyarakat Tionghua.

Sebagaimana tahun lalu, tarian itu tidak dibenarkan dalam prosedur operasi standard (SOP) kerajaan pada perayaan itu bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Berbeza pada tahun ini, selepas dua tahun Persatuan Singa dan Naga Gao Feng kembali menerima hampir 100 jemputan persembahan ke rumah pelanggan mahupun majlis makan besar di hotel-hotel.

Pengasasnya, Yong Kheng Chien ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) berkata, perkara itu bukan sahaja memberi kelegaan buat pihak persatuan, malah kaum Cina yang lama merindui aksi-aksi comel dan akrobatik dari sang singa dan naga selama ini.

“Menjelang hari raya Cina ini, kami bersyukur dapat buat persembahan tarian singa kerana dalam kepercayaan kaum kami, tarian singa dan naga boleh membawa ‘ong’ dan menghalau anasir-anasir jahat dalam rumah pelanggan.

“Tahun lepas tak ada (tarian singa). Memang rasa kosong dan itulah kali pertama saya beraya dengan keluarga sepanjang riwayat saya jadi tok guru tarian ini.

“Jadi sempena thahun harimau, kita siapkan kepala singa bercorak harimau untuk menarik perhatian. Kita memang ‘looking forward’ nak hiburkan orang ramai,” katanya.

PERSATUAN Singa dan Naga Gao Feng membuat latihan sebelum beraksi pada sambutan Tahun Baharu Cina.

Tambah Yong, penubuhan persatuan itu pada asalnya adalah gabungan sekumpulan pelajar dari sekolah berbangsa Melayu sejak tahun 1995.

“Gao Feng maknanya ‘puncak’ atau ‘high’ kerana kita semua dari Sekolah (Menengah Kebangsaan) Tinggi Melaka dan masa itu kita ada sekumpulan pelajar yang semua tak tahu berbahasa Cina berkecimpung dalam tarian singa.

“Memang dah biasa kalau tiap kali raya, saya akan bawa peserta saya menari singa sampai lebih kurang 15 hari berpisah daripada keluarga untuk buat ‘show’.

“Mereka ingatkan tarian singa ini memang untuk masyarakat Cina sahaja tapi kalau kita buat ‘show’, ramai bangsa lain pun syok tengok kita, itu yang buatkan rasa seronok sangat,” katanya.

Mengambil semangat tahun harimau, Yong yang pernah membawa persatuan itu menjuarai tarian singa dan naga di Macau pada tahun 2018, Taiwan (2019) dan China (2019) itu nyata tidak mahu berdiam diri dan mula membuat latihan sejak hujung tahun lalu.

“Kita nak jadikan tarian singa ini sebagai satu sukan di sekolah-sekolah kerana kita tak nak sukan ini popular sebagai kebudayaan yang dimainkan oleh sebahagian kaum sahaja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7726
Kongsi :
Previous post 20 lembu dijumpai mati dalam kandang buah naga di Taiping
Next post Wanita dakwa diperdaya bayar RM109,200 untuk komputer riba tak wujud
Ubah saiz-+=