Bot ‘tukar haluan’ sebelum karam di Tanjung Balau

KOTA TINGGI, 16 Dis – Bot yang karam di Tanjung Balau di sini semalam, dipercayai sepatutnya mendaratkan kesemua penumpang warga Indonesia di Kampung Tengah, di sini, dan mengambil sekumpulan warga Indonesia lain untuk pulang ke republik berkenaan.

Bagaimanapun, bot berkenaan yang difahamkan berlepas dari Batam, Indonesia pada kira-kira 11 malam itu dipercayai ‘bertukar haluan’ menuju ke arah Pantai Tanjung Balau, yang terletak dua hingga tiga kilometer dari lokasi asal.

Mendedahkan perkara itu, Pegawai Memerintah Rejimen Ketujuh Artileri Diraja Lt Kol Mohamed Ridzal Radzuan berkata bot berkenaan yang dipercayai dikendalikan sebuah sindiket, telah bertindak menukar lokasi pendaratan apabila menyedari kehadiran pasukan keselamatan di kawasan berkenaan.

Terdahulu, pasukannnya telah mengesan sebuah bot yang kelihatan mencurigakan berdekatan Kampung Tengah dan menjejaki sekumpulan pendatang tanpa izin sedang bersembunyi di dalam semak di kampung itu.

“Siasatan awal mendapati mereka (sindiket) mahu menurunkan penumpang di pantai Tanjung Balau, tetapi ombak yang terlalu besar menyebabkan bot terbalik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pos Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tanjung Sepang, di sini semalam.

Pasukan Rejimen Ketujuh Artileri Diraja, yang kini menjaga persisiran pantai barat Johor sepanjang 210 kilometer itu, adalah pasukan terawal mengesan kehadiran bot berkenaan.

“Sepanjang saya dan pasukan menjalankan operasi di sini, keadaan cuaca tak berapa baik dan ombak besar berikutan Monsun Timur Laut.

“Bila keadaan laut begini, dan mereka (sindiket) tahu pihak berkuasa melakukan penguatkuasaan di persisir pantai..kebanyakan tekong-tekong ini akan lepaskan penumpang mereka di tengah laut untuk menyelamatkan diri mereka (sindiket),” katanya.

Beliau berkata bot yang karam itu merupakan bot berkuasa tinggi dan mempunyai empat enjin dengan 200 kuasa kuda setiap satu.

“Bot besar memang jadi pilihan sindiket terutama melalui kawasan berombak besar seperti ini,” katanya.

Selain itu, hasil siasatan awal terhadap pendatang tanpa izin yang ditahan, kebanyakan mereka bukan pertama kali datang ke negara ini, malah sudah acap kali berulang-alik bagi mencari rezeki.

Mohamed Ridzal berkata sindiket itu turut disifatkan ‘hati kering’ kerana menurunkan penumpang di tengah laut dengan pendatang tanpa izin itu rata-ratanya tidak mengetahui nasib mereka sebelum masuk ke dalam negara dan risiko yang perlu dihadapi apabila mengikuti laluan yang tidak sah dan berbahaya.

Beliau berkata cabaran bagi pihak ATM adalah untuk memastikan keselamatan kawasan tanggungjawab (KTJ) kekal terpelihara meskipun mempunyai kekangan dengan KTJ sepanjang 210 kilometer hanya terdapat 25 pos pemerhati selain kekurangan anggota dan pegawai.

Walaubagaimanapun, beliau menjelaskan pihaknya juga sering menukar modus operandi dan taktik bagi mengatasi cabaran berkenaan dalam usaha memastikan keselamatan perairan negara terjaga.

Selain itu, kerjasama antara agensi-agensi penguat kuasa lain menerusi Ops Benteng seperti Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan pihak berkuasa tempatan juga diteruskan dan sentiasa diperhebat.

Sejak 19 Nov hingga semalam, Pasukan Rejimen Ketujuh Artileri Diraja menerusi Ops Benteng telah menahan seramai 144 pendatang tanpa izin selain menemukan 15 mayat pendatang.

Dalam kejadian 4.30 pagi semalam, sebuah bot yang membawa 50 warga Indonesia karam dengan 11 terkorban, 14 terselamat manakala 25 lagi masih hilang.

Selain itu, seramai lapan orang pendatang tanpa izin turut ditahan, dipercayai mahu menggunakan bot yang sama untuk pulang ke negara mereka.

Buat masa ini, 14 yang terselamat dan lapan yang ditahan ditempatkan di Pos Tanjung Sepang untuk ujian calitan COVID-19 dan siasatan lanjut.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

235
Previous post Ketua JSJ Selangor Nik Ezanee dilantik sebagai juruiring PM – KPN
Next post Pikul amanah dan mandat rakyat dengan cekap dan berkesan – KM