Pikul amanah dan mandat rakyat dengan cekap dan berkesan – KM
JOHOR BAHRU 16 Dis – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mengingatkan barisan kepimpinan negeri supaya memikul amanah dan mandat diberikan oleh rakyat dengan cekap dan berkesan.
Menerusi catatan Facebook rasminya, beliau berkata tanggungjawab yang diamanahkan cukup besar untuk membawa kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekononomi negeri.
Justeru, katanya, ia perlu digalas dengan cekap dan berkesan sekali gus menjadikan Melaka sebagai negeri yang maju.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada semua Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerajaan Negeri Melaka yang menunjukkan komitmen tinggi dan kebersamaan antara kita sepanjang ‘berkampung’ di Johor ini.
“Bersempena Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Intelektualiti dan Personaliti ADUN Kerajaan Melaka, malam ini suka saya nak ingatkan betapa tanggungjawab kita cukup besar.
“Amanah dan mandat yang diberikan oleh rakyat hendaklah dilaksanakan dengan cekap dan berkesan bagi menjadikan Negeri Melaka terus maju jaya yang ditunjangi dengan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi negeri,” katanya.
Sulaiman berkata, penganjuran bengkel itu memberi peluang kepada semua ADUN kerajaan terutama yang baharu dilantik untuk mendapatkan pendedahan dan kefahaman mengenai peranan dan tanggungjawab masing-masing.
“Kepada semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka yang telah dilantik, marilah kita bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan untuk rakyat dan Negeri Melaka.
“Pastikan tanggungjawab yang diamanahkan dapat dilaksana dengan penuh integriti, di samping memahami visi dan arah tuju pentadbiran Kerajaan Negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.