Budak lelaki tujuh tahun maut dipercayai didera ibu kandung dan bapa tiri

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

KRUBONG 29 Jan – Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya, di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malek ditemukan lemas dalam tong air di rumah berkenaan dengan terdapat beberapa kesan kecederaan di beberapa bahagian badan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, Bilik Gerakan Melaka Tengah menerima maklumat dari seorang lelaki berusia 38 tahun mendakwa anak tirinya lemas dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya, di sini.

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman

“Pemeriksaan fizikal terhadap mayat mangsa bagaimanapun mendapati kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan.

“Mayat kanak-kanak berkenaan dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

PIHAK polis melakukan siasatan di tempat kejadian

Tambahnya, siasatan lanjut mendapati kanak-kanak berkenaan tinggal bersama ibu kandungnya berusia 32 tahun dan ayah tiri.

“Perintah reman terhadap kedua-dua suspek akan dipohon esok bagi siasatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana melakukan bunuh,” katanya.

 

Views:

2595
Kongsi :
Previous post Rahimah ‘rindu’ pelancong
Next post Pencipta Mi Goreng Indomie meninggal dunia
Ubah saiz-+=