pdrm (1)

Bukit Aman tentukan pertukaran anggota dalam siasatan – Pesuruhjaya Polis Sarawak

KUCHING, 4 Ogos – Polis Sarawak menyerahkan keputusan bagi kajian semula pertukaran sembilan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Sabah dan Sarawak baru-baru ini kepada Bukit Aman, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri.

Beliau berkata Kerajaan Negeri telah dimaklumkan semalam bahawa belum ada anggota yang dimaksudkan melaporkan diri di Kontinjen Polis Sarawak.

“Kita akan rujuk pada Bukit Aman (bagi mengkaji semula) dan kita biarkan Bukit Aman tentukan (keputusannya). Kita dah maklumkan pada kerajaan negeri dan juga statusnya (masih belum ada anggota melapor diri),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) hari ini.

Semalam Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak dalam kenyataan berkata keputusan berhubung pertukaran sembilan anggota PDRM dipercayai terlibat dalam kes peras ugut di Gombak baru-baru ini, ke Sabah dan Sarawak akan dikaji semula oleh pucuk pimpinan PDRM.

Dalam pada itu, Azman berkata seramai 358 individu ditahan menerusi Operasi Tapis Khas yang dijalankan 27 hingga 29 Julai lepas, melibatkan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya hasil daripada maklumat orang awam, sejumlah 34 pokok ganja dirampas menjadikan ia rampasan ganja terbesar di negeri ini setelah tiga tahun.

Turut dirampas 131.47 gram syabu, 1.85 gram ganja dan 1.5 liter air ketum, dengan nilai keseluruhan rampasan dadah bernilai RM69,618.50.

Menurutnya, rampasan dadah tertinggi dilakukan di daerah Sibu iaitu RM56,420, diikuti Kuching (RM4,970.50) dan Miri (RM4,576).

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

132
295455689_358579239789412_2056793550252887020_n Previous post KeTSA tidak pertimbang permohonan baharu aktiviti perlombongan di Tasik Chini
photo_2022-08-04_15-32-56 Next post 96 kontraktor G1 Melaka terpilih selenggara infrastruktur