KeTSA tidak pertimbang permohonan baharu aktiviti perlombongan di Tasik Chini

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) tidak akan mempertimbangkan sebarang permohonan baharu atau penyambungan Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (OMS) bagi tapak perlombongan dalam kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kerajaan telah menghentikan semua operasi perlombongan di kawasan itu termasuk tiga pajakan melombong dikeluarkan pada 2020 dan 2021.

“Kerajaan negeri (Pahang) juga telah mengeluarkan arahan pemberhentian kerja ataupun ‘Stop Work Order’ kepada semua aktiviti perlombongan pada 17 Mei 2021.

“Kerajaan negeri turut melaksanakan moratorium dengan menghentikan semua aktiviti perlombongan di sekitar Tasik Chini pada 17 Jun 2021 seterusnya melaksanakan pemantauan kualiti air kawasan itu, penguatkuasaan arahan penyediaan laporan EIA (Penilaian Impak Alam Sekitar) dan pewartaan rizab Hutan Simpan Chini,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Fuziah Salleh (PH-Kuantan) berhubung tindakan kerajaan bagi merawat dan memulih kembali kawasan Tasik Chini agar tidak dilucutkan status Tapak Rizab Biosfera Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Takiyuddin berkata kerajaan telah menerima satu surat daripada Sekretariat Program Man and Biosphere (MAB) UNESCO bertarikh 28 Mei 2021, meminta Malaysia melakukan penambahbaikan ke atas Tasik Chini sebagai Tapak Rizab Biosfera UNESCO.

“Saya ingin mengesahkan dalam Dewan ini, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pahang telah menyediakan satu laporan kajian semula berkala Tasik Chini yang kita diarahkan menyerahkannya sebelum 30 Sept 2022, sudah siap drafnya dan akan dihantar dalam masa ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Pahang juga telah menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang dan Majlis Biodiversiti Pahang di bawah Enakmen Kerajaan Negeri bertujuan menguruskan dan menyelaras pelaksanaan pelan pengurusan Tasik Chini.

Selain itu, beliau berkata Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah mempergiatkan program penanaman pokok sejak 2015 bagi memulihkan kawasan terosot yang turut melibatkan pihak berkepentingan seperti komuniti Orang Asli.

“Pada tahun ini, JPSM dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang melaksanakan program pemulihan dan penghutanan semula sekitar kawasan Tasik Chini.

“Ini termasuk dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal Chini dengan peruntukan sebanyak RM800,000 di bawah inisiatif bajet Kumpulan Wang COVID-19 (KWC), Kementerian Kewangan Tahun 2022-Pemerkasaan Komuniti dan Pemuliharaan Kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini,” katanya.

Beliau berkata kementerian telah menyediakan peruntukan lebih RM1.5 juta sejak 2016 bagi melaksanakan pelbagai kajian di Tasik Chini termasuk kajian kualiti air manakala Kerajaan Pahang telah membelanjakan lebih RM4 juta menggunakan peruntukan Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) yang disalurkan Kerajaan Persekutuan bagi menambah baik pengurusan Tasik Chini untuk tempoh 2019 hingga 2021.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1126
Kongsi :
Previous post Skop kelayakan PerantiSiswa diperluas, agihan fasa pertama bermula bulan ini – Annuar
Next post Bukit Aman tentukan pertukaran anggota dalam siasatan – Pesuruhjaya Polis Sarawak
Ubah saiz-+=