Bukti kejayaan dalam suasana ‘norma baharu’

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

BUKIT KATIL 13 Ogos – Walaupun berdepan kepayahan menuntut ilmu dalam suasana norma baharu, namun itu tidak mematahkan semangat graduan Melaka International College of Science & Technology (MiCoST) membuktikan kejayaan.

Nazirah Ibrahim, 24, graduan jurusan Diploma Farmasi Fakulti Sains Kesihatan membuktikan kesungguhannya membuahkan hasil apabila merangkul Anugerah Graduan Terbaik Akademik pada pada Majlis Konvokesyen ke-8 MiCoST, hari ini.

“Menempuhi dunia pelajar dalam keadaan pandemik COVID-19 memuncak di negara ini sememangnya satu pengalaman yang sukar digambarkan kerana pelbagai faktor boleh menjurus kepada kegagalan.

“Paling saya ingat ketika setiap kali kelas dalam talian dan ketika itu juga jaringan internet tidak baik, sukar untuk belajar sebegitu, sukar fokus dan paling memedihkan apabila dimaklumkan pensyarah latihan industri terpaksa ditangguhkan ekoran kes COVID-19 yang sedang tinggi ketika itu.

“Namun, saya percaya perkara sedemikian wajar dilalui untuk memperoleh kejayaan sebagaimana hari ini,” katanya yang kini sedang bekerja dan menangguhkan niat untuk menyambung pelajaran.

NAZIRAH

Nazirah ditemui Melaka Hari Ini (MHI) pada Majlis Konvokesyen ke-8 Melaka International College of Science & Technology (MiCoST) di sebuah Resort di Bukit Katil, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 261 graduan MiCoST daripada tiga fakulti iaitu Fakulti Teknologi Maklumat dan Multimedia; Fakulti Sains Kesihatan dan Fakulti Pengurusan Perniagaan menerima diploma yang disampaikan Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah MiCoST Datuk Wira Dr. Abu Bakar Mohamad Diah dan Ketua Eksekutif MiCoST Akmal Abdul Manap.

Turut menerima anugerah utama pada majlis itu ialah Nurul Afiqah Nor Ramle, 22, yang meraih Anugerah IKON MiCoST.

Nurul Afiqah yang merupakan graduan Jurusan Diploma Rekabentuk Grafik Fakulti Teknologi Maklumat meraih anugerah itu di atas kejayaannya dalam pertandingan melukis ‘doodle’, selain turut cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.

NURUL AFIQAH

“Alhamdulillah, saya rasa bangga dengan anugerah diberikan di atas usaha saya sendiri selain sokongan ibu bapa kawan-kawan yang tidak putus menyokong minat saya dalam bidang seni.

“Paling saya ingati apabila memenangi pertandingan melukis Doodle di Muzium Nelayan di tempat kelahiran sy di Johor Bahru. Bermula dari situ nasib saya terus berubah dan sering untuk menghantar lukisan ke mana-mana pertandingan lukis Doodle.

“Ia juga berkat sokongan semua orang disekeliling saya terutama ibu bapa, rakan-rakan dan pensyarah yang mana walaupun ada suatu ketika pembelajaran terjejas akibat pandemik, namun berkat sokongan semua membuatkan saya terus bersemangat untuk mencipta kejayaan pada hari ini,” katanya yang kini menyambung pelajaran dalam bidang Multimedia di Universiti Kuala Lumpur.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2323
Kongsi :
Previous post ‘Singgit Seposen’ diperluas, mudahkan rakyat jual sisa buangan
Next post TYT hadir ke majlis Apresiasi Orang Kampung
Ubah saiz-+=