‘Singgit Seposen’ diperluas, mudahkan rakyat jual sisa buangan

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

RIM 13 Ogos – Program ‘Singgit Seposen’ akan diperluaskan ke seluruh negeri ini bagi memudahkan rakyat menjual sisa buangan yang boleh dikitar semula.

Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin berkata, program yang telah dilaksanakan sebelum ini akan diteruskan bagi memberi kesedaran terhadap amalan kitar semula disamping mampu membantu masyarakat menjana pendapatan sampingan hasil jualan sisa buangan.

Katanya, program itu menggunakan kaedah pandu lalu dan menggunakan konsep ‘scan’, ‘drop’ dan ‘pay’ bagi memudahkan proses jualan sisa.

“Program Singgit Seposen ini telah memberi pendapatan kepada mereka yang hadir ke sini untuk menjual beberapa jenis sisa yang boleh dikitar semula antaranya sisa minyak masak, fabrik, elektronik, tin aluminum, botol kaca, kertas dan botol plastik minuman.

“Saya mewakili kerajaan negeri merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak terlibat antaranya Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment).

“Bagi meneruskan lagi usaha ini, PTHM selepas ini akan menganjurkan lagi program ini menerusi kerjasama Majlis Perbandaran ALor Gajah (MPAG) pada Oktober akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Singgit Seposen di Dewan Alamanda Jasin, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PTHM, Datuk Wira Dr Abu Bakar Md Diah.

RAIS meninjau booth yang membeli sisa minyak masak terpakai daripada penduduk di kawasan itu.

Mengulas lanjut, Rais berkata hasil program yang dijalankan hari ini pihaknya telah berjaya mengutip nilai keseluruhan sisa buangan sebanyak 4,500 kilogram (kg) hasil kerjasama dari masyarakat kawasan berkenaan.

“Ia meliputi sebanyak 658kg minyak masak terpakai, 1,598kg fabrik, 552kg elektronik, 102kg tin aluminium, 146kg botol kaca, 1,117kg kertas dan 286kg botol plastik minuman.

“Hasil kutipan wang yang diagihkan adalah sebanyak RM2,300 telah dicapai di sepanjang program yang diadakan secara pandu lalu, hari ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2152
Kongsi :
Previous post Lepasan SPM perlu sambung pengajian di peringkat tertinggi
Next post Bukti kejayaan dalam suasana ‘norma baharu’
Ubah saiz-+=