WhatsApp Image 2022-08-13 at 3.06.23 PM

Lepasan SPM perlu sambung pengajian di peringkat tertinggi

BUKIT KATIL 13 Ogos – Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini dinasihatkan agar berfikiran jauh dan tidak memperjudikan masa depan mereka dengan mengabaikan pendidikan di peringkat lebih tinggi, kata Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin.

Katanya, data yang menunjukkan anak muda masa kini tidak minat menyambung pengajian di peringkat tertinggi dan lebih memilih kerjaya sebagai pempengaruh (influencer) atau bekerja sebagai penghantar makanan (p-hailing) perlu dipertimbangkan sebaiknya.

Di pihak kerajaan negeri, katanya, pelbagai usaha dijalankan bagi menggalakkan lepasan SPM menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) yang ada di negeri ini.

Ujarnya, antara inisiatif yang dijalankan termasuklah menawarkan insentif RM1,000 kepada anak Melaka yang memilih untuk menyambung pengajian di IPT milik kerajaan negeri seperti Universiti Melaka (UniMel) dan Melaka International College of Science & Technology (MiCoST).

“Selain insentif itu, Tabung Amanah Pendidikan Melaka (Tapem) turut menyediakan pinjaman 100 peratus kepada anak-anak B40 yang ingin menyambung pengajian, begitu juga dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Jadi, kita harap sebaiknya lepasan SPM ini dapat menyambung semula pengajian kerana jika tidak berkemampuan sekalipun banyak bantuan yang diberikan kerajaan dan jika keputusan kurang baik sekalipun, mereka masih boleh menyambung pengajian di peringkat diploma atau sijil.

“Ingat, jika anda memilih jadi penunggang p-hailing, youtuber dan sebagainya sekalipun tidak semestinya anda tidak boleh sambung pengajian kerana pembelajaran ini boleh dilakukan sepanjang hayat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada sidang media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen ke-8 Melaka International College of Science & Technology (MiCoST) di sebuah Resort, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah MiCoST, Datuk Wira Dr. Abu Bakar Mohamad Diah dan Ketua Eksekutif MiCoST Akmal Abdul Manap.

Pada majlis konvokesyen itu, seramai 261 graduan daripada tiga fakulti diraikan.

Ia membabitkan 162 graduan daripada Fakulti Business Management; 79 graduan Fakulti Information Technology & Multimedia dan 20 daripada Fakulti Health & Science.

Mengulas mengenai perancangan masa depan MiCoST, Rais berkata IPT milik kerajaan negeri itu kini giat mengadakan kolaborasi dalam memperkenalkan pelbagai jurusan baharu.

Katanya, MiCoST juga telah menyediakan fasiliti terbaik dalam memberi pengalaman dan pembelajaran terbaik kepada pelajar-pelajarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

554
WhatsApp Image 2022-08-13 at 3.06.25 PM Previous post ‘Spotcheck’ mengejut di asrama tangani kes buli – Exco
WhatsApp Image 2022-08-13 at 6.14.23 PM Next post ‘Singgit Seposen’ diperluas, mudahkan rakyat jual sisa buangan