‘Spotcheck’ mengejut di asrama tangani kes buli – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BUKIT KATIL 13 Ogos – Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini giat menjalankan ‘spotcheck’ mengejut di sekolah-sekolah berasrama di negeri ini.

Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin berkata, inisiatif menerusi Op Sejahtera itu dilakukan bertujuan untuk memantau dan menangani kes buli membabitkan pelajar asrama yang semakin diperkatakan sejak akhir-akhir ini.

Katanya, meskipun pelbagai usaha dilakukan, kerjasama daripada mangsa buli dan ibu bapa juga diperlukan bagi membolehkan siasatan dan tindakan awal dapat diambil.

“Alhamdulillah sepanjang dalam pengetahuan saya, Jabatan Pendidikan Negeri sentiasa memantau dan mengambil kira aspek keselamatan pelajar.

“Boleh dikatakan sepanjang menjadi Exco hanya terdapat satu sahaja kes buli dikesan dan kita berjaya mengatasinya dalam tempoh yang cepat.

“Saya juga meminta pihak jabatan untuk terus memantau keadaan pelajar di asrama dan pada masa sama kita juga bekerjasama dengan PDRM menerusi Op Sejahtera yang mana mereka akan melakukan ‘spotcheck’ mengejut di asrama-asrama seluruh negeri bagi memastikan tidak berlaku gejala buli di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada sidang media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen ke-8 Melaka International College of Science & Technology (MiCoST) di sebuah Resort, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah MiCoST, Datuk Wira Dr. Abu Bakar Mohamad Diah dan Ketua Eksekutif MiCoST Akmal Abdul Manap.

Semalam, tular di media sosial mengenai kejadian buli yang didakwa berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan membabitkan pelajar perempuan sekolah berkenaan.

Kejadian itu dikatakan sudah berlarutan lebih sebulan lalu, namun pengadu yang dipercayai ibu bapa pelajar berkenaan mendakwa pihak sekolah bertindak sambil lewa untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2212
Kongsi :
Previous post Lelaki maut, dua rakan parah kereta terbabas
Next post Lepasan SPM perlu sambung pengajian di peringkat tertinggi
Ubah saiz-+=