Sorting by

×

Bunga Pukul Lapan ‘sahabat’ padi

Masa Membaca:2 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 14 September – Penanaman Bunga Turnera atau turut dikenali sebagai Bunga Pukul Lapan dan Bunga Lidah Kucing amat bermanfaat bagi mengawal serangan perosak tanaman padi.

Bunga itu bukan sahaja boleh digunakan sebagai tanaman hiasan tetapi bermanfaat sebagai agen kawalan biologi yang mesra alam selain kaya dengan ‘nektar’ yang boleh menjadi perumah kepada serangga bermanfaat dalam ekosistem padi.

Pegawai Pertanian Kuasa Usaha Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Melaka Kompleks Pertanian Pulau Gadong Jabatan Pertanian Negeri, Noor Hafizah Abdul Halim berkata, disebabkan manfaat itu, pokok berkenaan kini mula ditanam di sekitar sawah padi di negeri ini.

Katanya, sebagai projek rintis, satu plot kejuruteraan ekologi dibangunkan bagi menjadi perumah kepada sahabat ladang menerusi program ‘Hands On Penanaman Bunga Turnera’.

“Untuk permulaan di Melaka, kita tanam sebanyak 1,000 pokok bunga turnera di Kampung Parit Penghulu sebagai perantis kejuruteraan ekologi, ia bunga yang bermanfaat menjadi perumah kepada musuh tanaman.

“Bunga ini akan ditanam berhampiran sawah padi yang mana berperanan sebagai bunga yang berfaedah seperti menjadi tempat untuk haiwan kawal perosak padi, tempat berlindung dan cari makan dan secara semula jadi mengawal haiwan atau serangga perosak,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

6
EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh melihat pokok Turnera ketika mengadakan Walkabout Program Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) dan Pembangunan Kejuruteraan Ekologi, Jabatan Pertanian Malaysia di Sawah Kampung Parit Penghulu, Sungai Rambai. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis dan Pengarah Pertanian Negeri, Rozli Azizi Talib. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurut Noor Hafizah, dengan adanya bunga tersebut, ia juga secara tidak langsung dapat mengurangkan penggunaan racun serangga di sawah padi.

Tambahnya, jangka hayat Bunga Turnera juga sangat lama dan kebiasaannya ia hanya mengambil masa tiga ke empat bulan untuk berkembang atau membiak.

“Di Sungai Rambai kita tanam bunga bewarna kuning yang mana bunga ini tahan lasak, kurang penjagaan dan senang hidup, sebab itu kita pilih bunga ini.

“Menariknya bunga ini akan kembang pada jam 8 pagi, dengan warnanya yang kuning sudah tentu ia dapat menarik perhatian serangga untuk datang ke pokok ini,” katanya.

4
BURUNG Pungguk Jelapang berupaya menghapuskan kehadiran tikus yang merosakkan tanaman padi. Foto Iqmal Haqim Rosman

Dalam pada itu, beliau berkata, selain Turnera, Jabatan Pertanian Negeri Melaka turut mendirikan sebuah rumah Burung Pungguk Jelapang (BPJ) di sawah padi berkenaan bertujuan membantu pesawah mengawal tikus yang merosakkan tanaman.

“Burung ini merupakan pemangsa kepada tikus secara semula jadi, tugasnya adalah mengawal tikus yang mana satu malam ia boleh makan dua hingga tiga ekor tikus, burung ini juga boleh mengawal satu sawah padi dengan keluasan 70 hektar.

“Burung ini tiada rumah, jadi kita sediakan rumah untuk burung ia membiak, tugasnya untuk mengawal tikus jadi tidak perlulah pesawah menggunakan racun tikus yang merbahaya.

“Kita akan pantau populasi burung pungguk ini dan membuat bancian kepenghunian BPJ di setiap rumah burung disediakan itu, setakat ini burung pungguk memberi kesan dan ia antara projek yang berjaya sebab dietnya dalam 99 peratus adalah tikus,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1734
Kongsi :
Previous post Konvoi Merdeka bakal meriahkan sambutan Hari Malaysia DUN Durian Tunggal
Next post Gedung ilmu cakerawala di Tanjung Bidara
Ubah saiz-+=