Sorting by

×

Gedung ilmu cakerawala di Tanjung Bidara

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

Oleh: Iqmal Haqim Rosman

TANJUNG BIDARA 14 September – Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Kampung, Balik Batu, Masjid Tanah, di sini, kebiasaannya menjadi tumpuan dan tempat berkumpul para ahli astronomi setiap kali menjelang Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Bangunan yang menjadi tumpuan kerana dilengkapi teleskop gergasi itu bukan sekadar lokasi untuk melihat atau mencerap hilal Syawal dan Ramadan.

Sebaliknya ia memainkan peranan amat besar dalam memperkasakan ilmu falak dan astronomi yang suatu ketika dahulu menjadi kebanggaan para ilmuan Islam seluruh dunia.

GEDUNG CAKERAWALA (3)
Antara bahan pameran yang menjadi tarikan buat orang ramai yang berkunjung ke Kompleks Falak Al-Khawarizmi yang terletak Tanjung Bidara. Foto Iqmal Haqim Rosman

Melangkah masuk ke dalam bangunan itu, pasti ramai yang terkejut kerana ia sebenarnya mempamerkan pelbagai bahan menarik mengandungi dan menceritakan mengenai keindahan serta keagungan cakerawala ciptaaan Allah S.W.T.

Objektif penubuhan kompleks seliaan Jabatan Mufti Negeri Melaka itu adalah untuk memartabatkan ilmu falak dalam kalangan masyarakat melalui kemudahan pembelajaran dan aktiviti pelancongan.

Terdapat kemudahan dewan untuk aktiviti seminar, kursus dan mesyuarat yang boleh dilaksanakan serta kemudahan penginapan turut disediakan.

GEDUNG CAKERAWALA (10)
ANTARA tarikan di Kompleks Falak Al-Khawarizmi. Foto Iqmal Haqim Rosman

Aktiviti-aktiviti pelancongan pendidikan astronomi seperti lawatan galeri interaktif, tayangan dokumentari sains berbentuk planetarium dan 3D, cerapan hilal serta cerapan langit malam.

Kemudahan dibangunkan Kerajaan Negeri Melaka ini merupakan kompleks falak yang terbesar di Malaysia berkeluasan 1.62 hektar mengandungi Balai Cerap, Planetarium dan Pusat latihan yang menyediakan kemudahan penginapan, bilik-bilik kuliah, auditorium, dewan seminar, galeri pameran, dewan tayangan, pelantar cerapan dan kubah cerapan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

952
Kongsi :
Previous post Bunga Pukul Lapan ‘sahabat’ padi
Next post Melaka adakan lawatan kerja ke semua DUN, pantau pembangunan dan masalah rakyat – KM
Ubah saiz-+=