Melaka adakan lawatan kerja ke semua DUN, pantau pembangunan dan masalah rakyat – KM

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 14 September – Satu lawatan kerja akan diadakan ke setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Negeri Melaka, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Menurut beliau, lawatan kerja itu bertujuan memantau dan melihat sendiri perkembangan pembangunan serta apa jua perkara yang perlu diambil tindakan segera di setiap DUN.

Tambah beliau, selain lawatan kerja, akan diadakan juga Hari Bertemu Pelanggan di setiap DUN yang dilawati.

“Alhamdulillah, lawatan kerja yang dilaksanakan ini merupakan satu inisiatif yang baik kerana semua pimpinan negeri dapat memantau dan melihat sendiri perkembangan pembangunan serta apa-apa perkara yang perlu diambil tindakan segera di kawasan DUN yang dilawati.

“Selepas ini, saya bersama semua pimpinan Kerajaan Negeri akan meneruskan sesi lawatan kerja ini di semua DUN Negeri Melaka.

“Insya-Allah, pada hari Ahad ini, kita akan ke DUN saya sendiri iaitu DUN Tanjung Bidara. Saya mohon agar semua Exco serta ketua jabatan dan agensi yang berkaitan dapat hadir dan turut serta di dalam lawatan kerja dan hari bertemu pelanggan pada hari Ahad ini serta pada lawatan-lawatan kerja yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka September 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berharap lawatan kerja yang diadakan di seluruh negeri bukan sahaja dapat memantau lebih dekat segala projek pembangunan, bahkan dapat menyelami segala permasalahan rakyat.

“Ini bagi membolehkan rakyat menikmati keselesaan dan kemudahan yang dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

845
Kongsi :
Previous post Gedung ilmu cakerawala di Tanjung Bidara
Next post TMM2024: Gotong-Royong Perdana diadakan di Sungai Melaka Fasa 2 sejauh 5.2km
Ubah saiz-+=