Cadang Jualan Rahmah Bergerak di setiap pasar malam

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

PANTAI KUNDOR 18 Julai – Timbalan Exco Pembangunan Usahawan,Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Tuminah Kadi @ Mohd Hashim mencadangkan agar program Jualan Rahmah Bergerak diadakan di setiap pasar malam di negeri ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor berkata, ia berikutan sambutan yang diterima daripada orang ramai cukup menggalakkan ketika ia diadakan di tapak Pasar Malam Pantai Puteri.

Katanya, selain pasar malam, pasar pagi juga boleh dijadikan lokasi penganjuran inisiatif bertemakan ‘kedai cari rakyat’ yang bakal diadakan dua kali sebulan itu.

“Saya telah mohon di peringkat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk menjadikan tapak pasar malam di negeri ini sebagai lokasi Jualan Rahmah Bergerak.

“Seperti di Pantai Puteri, tapak pasar malam ini telah menjadi lokasi perasmian program berkenaan dan sambutan diterima daripada orang ramai cukup hebat.

“Jika ia berjaya, mungkin penganjuran ini boleh diperluas di pasar pagi dan yang paling penting lokasi yang dipilih mestilah mudah diakses oleh semua pihak seperti di Pantai Puteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengiringi Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, (KPDN), Fuziah Salleh melancarkan Program Jualan Rahmah Bergerak peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor di Pentas Budaya Pantai Puteri, baru-baru ini.

Program itu turut dihadiri Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin dan Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar.

Mengulas lanjut, Tuminah berkata setiap barangan yang dijual seperti barang kering dan basah akan dijual lebih murah 30 peratus dari harga pasaran.

“Saya harap pengunjung dan masyarakat dapat bersama-sama menikmati harga subsidi yang diberikan kerajaan seperti minyak masak yang dijual serendah RM23, dua papan telur ditawarkan dengan harga RM15 dan pelbagai lagi barangan yang ditawarkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1141
Kongsi :
Previous post Banjir di Sungai Rambai pulih sepenuhnya
Next post Muhammad Sanusi tiba di mahkamah bagi hadapi tuduhan
Ubah saiz-+=