Cadang ‘no right turn’ di Lebuh SPA atasi kesesakan waktu puncak

Masa Membaca:59 Saat

AYER KEROH 26 Ogos – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mengkaji keberkesanan pelaksanaan ‘no right turn’ (tiada susur kanan) di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA).

Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu berkata, pelaksanaan itu dilakukan bagi mengatasi kesesakan yang berlaku khususnya pada waktu puncak iaitu pagi dan petang di laluan berkenaan.

Katanya, buat masa ini, laluan yang dicadangkan untuk pelaksanaan ‘no right turn’ itu ialah di Persimpangan Cheng hingga ke Ayer Keroh.

“No right turn ini maksudnya kita tidak benarkan laluan masuk ke kanan untuk memastikan aliran trafik sentiasa lancar khususnya pada waktu puncak seperti jam 7.30 pagi hingga 9 pagi.

“Ini antara kerja yang sedang kita bincang dan fokuskan bersama JKR untuk mengatasi masalah kesesakan.

“Insya-Allah kita akan cuba memberi komitmen kepada kerajaan negeri untuk melihat kajian ini yang saya kira bersesuaian untuk dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat MBMB Sempena Hari Kebangsaan 2022 di Dewan Taming Sari MBMB, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Ahli Majlis MBMB Ab Razak Abu, barisan Ahli Majlis MBMB dan warga kerjanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2650
Kongsi :
Previous post Skuter elektrik bakal jadi mod pengangkutan baharu Banda Hilir
Next post Buruh binaan maut dipukul majikan
Ubah saiz-+=