Skuter elektrik bakal jadi mod pengangkutan baharu Banda Hilir

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 26 Ogos – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sedang dalam peringkat kajian untuk membenarkan penggunaan pengangkutan mikro mobiliti seperti skuter elektrik sebagai mod pengangkutan terbaharu di kawasan pelancongan Banda Hilir.

Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu berkata, ia bakal dilaksanakan selaras dengan saranan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam ke arah usaha mengurangkan kesesakan di lokasi tumpuan.

Bagaimanapun, katanya, beberapa perkara tertentu seperti laluan khusus dan aspek keselamatan akan dibincangkan secara lebih terperinci bersama pelbagai agensi termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat.

“Kita mencadangkan skuter elektrik ini boleh digunakan di kawasan laluan basikal (Green Lane) yang telah diwujudkan sebelum ini memandangkan skuter itu tidak boleh bersama dengan kenderaan lain di atas jalan raya.

“Jadi, laluan sepanjang 3 kilometer (km) itu sudah ada, cuma kita perlu panjangkan lagi laluan itu mungkin dengan pembahagian tertentu supaya kedua-dua basikal dan skuter elektrik ini boleh digabungkan dalam satu laluan khas.

photo1657946547
SKUTER elektrik (Gambar hiasan). Foto Iqmal Haqim Rosman

“Selain itu, kita juga akan membincangkan secara khusus garis panduan dan peraturan penggunaan skuter elektrik ini kerana kita perlu berhati-hati dengan implikasinya apabila diluluskan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat MBMB Sempena Hari Kebangsaan 2022 di Dewan Taming Sari MBMB, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Ahli Majlis MBMB Ab Razak Abu, barisan Ahli Majlis MBMB dan warga kerjanya.

Mengulas mengenai kempen itu, Zainal berkata, pihaknya menyeru warga Bandaraya agar bersama-sama menyemarakkan Bulan Kebangsaan tahun ini dengan memasang Jalur Gemilang di premis dan kediaman masing-masing.

Katanya, ia bukan sahaja demi menunjukkan semangat patriotik dan cintakan tanah air, bahkan menunjukkan komitmen jitu warga Bandaraya Melaka menzahirkan kesyukuran atas nikmat kemerdekaan pada hari ini.

“Walaupun banyak Bandaraya lain telah mewajibkan pemasangan Jalur Gemilang yang termaktub di bawah Undang-Undang Kecil, tetapi kita tidak melihat adanya keperluan untuk meletakkan peraturan sedemikian kerana rasa kecintaan itu perlu hadir secara semula jadi dan bukan dipaksa-paksa.

“Alhamdulillah, setakat ini semua pihak memberi kerjasama yang cukup baik di pihak MBMB kita akan terus memberi peringatan dan seruan kepada mereka untuk menunjukkan rasa cinta pada negara ini.

“Pada masa sama, kita akan terus mengadakan pemantauan bagi memastikan tidak lagi berlaku insiden pemasangan bendera terbalik mahupun bendera yang sudah lusuh dipasang di kawasan Bandaraya Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1676
Kongsi :
Previous post Pendidikan, sekolah baharu wawasan Mohd Noor Helmy
Next post Cadang ‘no right turn’ di Lebuh SPA atasi kesesakan waktu puncak
Ubah saiz-+=