
80 MENARA TELEKOMUNIKASI BAHARU DIBINA SEPANJANG TIGA TAHUN PENTADBIRAN AB RAUF
TANJUNG BIDARA 16 Jun – Komitmen Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh untuk mendigitalkan Melaka diterjemahkan menerusi pembinaan 80 menara telekomunikasi baharu melibatkan kawasan bandar dan luar bandar seluruh negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) Dr. Nazdiana Ab Wahab berkata, angka itu adalah bagi tempoh tiga tahun bermula 2023 hingga 2026.
“Selain itu urusan pembinaan menara baharu sepanjang pentadbiran Ketua Menteri juga menjadi lebih mudah dan cepat, sebelum ini tempoh permohonan melibatkan Pejabat Tanah dan Daerah serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sahaja sudah mengambil masa lapan bulan.
“Sekarang disingkatkan cuma kepada tiga bulan, memang amat membantu dalam merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk menyediakan liputan jalur lebar dan telekomunikasi mudah alih terbaik serta berkualiti untuk rakyat Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Struktur Menara Telekomunikasi Baharu di Taman Seri Jeram, Masjid Tanah yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah serta Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Melaka Khairol Nizam Mohd Mostar.
Katanya, jumlah itu tidak melibatkan sekitar 20 menara telekomunikasi lain termasuk di kawasan luar bandar yang dibina menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
“Bagi MICTH sendiri kita menyasarkan untuk siapkan 30 lagi menara baharu, setakat ini 15 sudah siap dan bakinya sedang dalam proses,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


