
WRUR TELOK MAS: MASYARAKAT CINA, INDIA PUJI KEPIMPINAN TOK AJAK
TELOK MAS 16 Jun – Sifat mesra rakyat dan komitmen berterusan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dalam membantu masyarakat pelbagai kaum terus mendapat tempat dalam hati penduduk dalam kawasan tersebut.
Penduduk Taman Sinn, Ujong Pasir, A. Yougan, 51, berkata sepanjang mengenali Abdul Razak atau mesra di panggil sebagai ‘Tok Ajak’ sebagai Adun, beliau merupakan seorang pemimpin yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.
Katanya, setiap kali berdepan masalah melibatkan komuniti setempat, Abdul Razak atau dibantu wakil Japerun pasti berusaha mencari jalan penyelesaian demi memastikan kebajikan penduduk terpelihara.
“Tok Ajak bukan sahaja hadir ketika program rasmi, kami jemput pelbagai majlis pun beliau sudi hadir, malah turut turun padang bertemu rakyat untuk mendengar sendiri masalah yang dihadapi.
“Sebagai penduduk DUN Telok Mas, saya bersyukur kerana mempunyai wakil rakyat yang sentiasa mengambil berat dan tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Malam Lestari Warisan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Telok Mas di Tokong Cheng Wah Keong.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Tokong Cheng Wah Keong, Tan Soon Tai, 51, berkata, pelbagai bantuan yang disalurkan di DUN Telok Mas termasuk kepada rumah ibadat, persatuan dan golongan memerlukan membuktikan keprihatinan pemimpin berkenaan terhadap rakyat.
Katanya, bantuan pembayaran utiliti kepada empat tokong di kawasan itu yang dilaksanakan sejak 2021 menjadi antara inisiatif yang memberi manfaat besar kepada pengurusan rumah ibadat.
“Usaha ini menunjukkan beliau menghormati kepelbagaian masyarakat di DUN Telok Mas yang mana bantuan yang diberikan bukan sahaja membantu mengurangkan beban kewangan persatuan, malah mengeratkan hubungan antara kaum.
“Kami melihat beliau sebagai pemimpin yang sentiasa berusaha menyatukan masyarakat dan memastikan semua lapisan penduduk mendapat perhatian sewajarnya,” katanya.
Bagi seorang lagi penduduk Taman Seri Telok Mas, A.M Vijayaletchmi, 54, berkata, sikap rendah diri dan mudah didekati yang ditunjukkan Abdul Razak menjadikan beliau disenangi rakyat pelbagai peringkat umur.
“Walaupun memegang jawatan penting iaitu Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Tok Ajak tetap meluangkan masa bersama rakyat dan sentiasa mendengar pandangan penduduk.
“Apatah lagi menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Telok Mas ini memang kita boleh terus jumpa dan mengadu isu yang dihadapi membuatkan kami berasa dekat dengan pemimpin dan yakin suara rakyat sentiasa diberikan perhatian,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

