Cahaya tidak hirau ‘diejek’

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PENGKALAN BATU 9 Mac – Meskipun kerap diejek oleh rakan kerana sumbing, namun itu tidak mematahkan semangat buat Cahaya Abdullah, 8, untuk terus ke sekolah bagi menimba ilmu.

Murid Darjah 2 Sekolah Kebangsaan (SK) Peringgit itu, tetap sabar dan cekal meneruskan kehidupannya selepas dilahirkan sebagai insan istimewa.

Ibunya, Wahida Puasa, 29, berkata awal persekolahan dahulu pernah anak sulung dari dua beradik itu merajuk kerana diejek berikutan fizikal mulutnya berbeza daripada kanak-kanak yang lain.

“Tidak mahu dia berasa kecewa dan putus asa saya bersama suami memujuknya serta memberi kata-kata semangat agar dia bangkit.

“Mungkin disebabkan sudah terbiasa atau ‘lali’ dengan ejekan, dia kemudian bersikap seperti biasa dan membawa diri dengan adanya,” katanya.

Suri rumah itu ditemui selepas menerima sumbangan bantuan persekolah daripada Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) pada Program Hari Bertemu Rakyat Kerajaan Negeri Peringkat DUN Pengkalan Batu, di sini, hari ini.

Dia bersyukur apabila Cahaya antara 20 murid yang terpilih menerima sumbangan persiapan persekolahan memandangkan pendapatan suaminya yang bekerja sebagai penghantar makanan tidak menentu.

“Dengan bantuan ini, merasalah anak untuk memakai pakaian baharu ke sekolah nanti, sekurang-kuranganya dapat memberinya semangat.

“Jadi suami tidaklah terbeban, cuma kami perlu sediakan wang untuk pembayaran yuran persekolahannya nanti,” katanya.

photo1678349470
AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu merangkap Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Negeri Melaka, Datuk Kalsom Noordin (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada murid sekolah pada Hari Bertemu Rakyat DUN Pengkalan Batu Bersama YAB Ketua Menteri di Kompleks Japerun Pengkalan Batu, Jalan Bachang, Melaka. Turut serta Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Datuk Mustafa Musa (kiri). Foto: MR. AZLI

Seorang lagi suri rumah, Ngau Chiau Ling, 39, menganggap bantuan amat bermakna berikutan suaminya baru sahaja mula bekerja semula selepas berehat bagi tempoh yang lama selepas terbabit kejadian langgar lari.

“Ringanlah sedikit beban kami untuk siapkan barangan persekolahan anak. Jadi apabila diberitahu anak terpilih saya rasa amat bersyukur,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3438
Kongsi :
Previous post Berita baik untuk guru JAIM bakal diumumkan
Next post Plastik mesra alam guna ubi kayu dan daun pisang
Ubah saiz-+=