Calon nombor 1, Shahril Hamdan harap tuah itu kekal pada PRU15

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

ALOR GAJAH 5 November – Calon nombor satu yang diumumkan pada penamaan calon di Parlimen Alor Gajah, Shahril Hamdan mengharapkan tuah nombor pertama itu kekal pada kemenangannya menawan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Beliau yang mewakili parti Barisan Nasional (BN) mengharapkan rakyat di Alor Gajah memberikan sokongan padu kepada calon muda sepertinya bagi memastikan beberapa potensi yang ada di kawasan itu mampu memacu masa depan anak muda.

“Alhamdulillah setelah selesai diumumkan keempat calon yang bertanding kali ini saya telah mendapat nombor satu dan saya harap itu juga petanda baik kepada saya.

“Biarlah keputusan itu nanti pun serupa dengan nombor yang dicalonkan pada penamaan calon hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Hari Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu di sini, hari ini.

WhatsApp Image 2022-11-05 at 2.37.31 PM
SHAHRIL diiringi penyokong dan pencadang bagi mengesahkan kehadirannya sebelum memasuki ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Taming Sari UITM Lendu.

Dalam pada itu, Shahril berkata, beliau yakin kekuatan jentera parti yang merupakan pejuang akar umbi mampu membawa kemenangan BN untuk menakluki kerusi parlimen itu.

“Saya mohon kepada semua pengundi di Alor Gajah untuk memberi sokongan kepada saya sebagai calon anak muda yang baru berumur 37 tahun ini, di mana kita datang denghan idea berserta misi dan visi baharu semata dengan kemahuan menjadikan Alor Gajah sebagai satu kawasan yang mencapai tahap potensinya.

“Dengan kepimpinan kerajaan negeri dari BN dan Kerajaan Persekutuan dari BN dengan Ahli Parlimennya merupakan dari parti ini nanti, ia mampu membantu kita mencapai potensi tersebut khususnya buat usahawan muda termasuk graduan untuk memastikan mereka pasti dapat manfaat peluang pekerjaan di tempat sendiri.

“Kita akan pastikan rakyat Alor Gajah akan dapat manfaat..kawasan ini dipenuhi dengan kawasan perindustrian, ‘solar valley’ dan kita tahu juga banyak perusahaan mikro kecil sederhana (PMKS) di kawasan ini perlu dibangunkan dengan potensi potensi yang perlu pandang ke hadapan,” katanya.

Terdahulu, Shahril merupakan antara empat calon telah disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan bertanding dalam PRU15 merebut kerusi Parlimen Alor Gajah.

Antara tiga lagi calon yang akan berentap pada kerusi itu adalah Muhammad Nazriq Abdul Rahman dari Pejuang; Adly Zahari dari Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusoff dari Perikatan Nasional (PN).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2590
Kongsi :
Previous post Festival Keris Antarabangsa bakal pamer 1,000 keris
Next post Saya masih poster boy, calon PM BN – Ismail Sabri
Ubah saiz-+=