Festival Keris Antarabangsa bakal pamer 1,000 keris

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BANDA HILIR 5 November – Kira-kira 1,000 keris termasuk dari luar negara akan dipamerkan sepanjang dua hari berlangsungnya Festival Keris Antarabangsa Melaka (FKAM) 2022, pada 12 hingga 13 November ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Datuk Akramuddin Ab Aziz berkata, festival itu nanti bukan hanya membabitkan peserta dari Malaysia malah akan disertai dari Patani, Thailand; Sulawesi, Indonesia serta Singapura.

Menurut beliau, penganjuran FKAM 2022 akan berlangsung di Perkampungan Hang Tuah, Duyong itu nanti dijangka dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

“Apa yang menariknya festival ini akan disertai tiga negara lain dan ia sekali gus menunjukkan industri pembuatan keris di Nusantara memang bergiat cergas.

“Selain penyertaan dari luar negara, kita jangkakan kira-kira 1,000 peserta yang juga dari penggiat keris dari seluruh Malaysia akan turut serta untuk sama-sama kita mengembalikan kegemilangan keris,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas, menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Niat Untuk Kerjasama Antara Perbadanan Muzium Melaka Dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Majlis disempurnakan oleh Pengurus Besar Perzim Drs Mohd Nasruddin Rahman dan Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI Profesor Madya Dr Mazura Mastura Muhammad.

Beliau berkata, penduduk Melaka khususnya diminta untuk hadir dan merebut peluang untuk menyaksikan sendiri kepelbagaian dan bentuk keris yang ada selain termasuk keris antik yang masih tersimpan rapi.

“Sepanjang dua hari itu, pelbagai aktiviti menarik, pameran serta demonstrasi diadakan antaranya pertandingan sembilan jenis keris, bengkel pengenalan, pameran keris antik, demonstrasi mengukir hulu keris, menempa serta membuat keris termasuk mencuci keris.

“Malah pada sebelah malam akan diadakan pertunjukkan wayang pacak. Saya amat berharap masyarakat ambil peluang ini, rugi sekiranya generasi sekarang melepaskan peluang kerana sekarang ini senjata itu menjadi perhiasan dan hanya digunakan dalam acara tertentu sahaja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4038
Kongsi :
Previous post Parlimen Putrajaya saksi perebutan enam calon
Next post Calon nombor 1, Shahril Hamdan harap tuah itu kekal pada PRU15
Ubah saiz-+=