
CAPAIAN INTERNET DUN LENDU SEMAKIN BAIK
BANDARAYA MELAKA 9 Mei – Mutu capaian internet sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu semakin memuaskan, susulan pelbagai inisiatif dan usaha dilaksanakan Kerajaan Negeri menerusi usahasama dengan agensi serta syarikat telekomunikasi yang berkaitan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, sesuai dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk mendigitalkan Melaka, mutu capaian internet dan telekomunikasi menjadi antara perkara diberikan perhatian oleh beliau.
“Alhamdulillah dari Masjid Tanah ke Alor Gajah sekarang capaian liputan internet semakin memuaskan, ini menunjukkan usaha dilaksanakan untuk mengatasi isu kerap disuarakan penduduk mula menunjukkan hasil.
“Sesuai dengan peredaran dunia sekarang, kemudahan internet adalah amat penting, manfaatnya dirasai semua peringkat usia terutama generasi muda,” katanya pada sidang media selepas Temu Bual Khas Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Lendu di Melaka FM, di sini, semalam.
Sulaiman yang juga Ketua Menteri Melaka Ke-12 berkata, geografi DUN Lendu di kawasan berbukit antara cabaran utama dihadapi pihak-pihak berkaitan dalam usaha mencari penyelesaian isu itu.
“Dalam DUN Lendu ini ada tiga tempat yang walaupun capaian 4G sudah 100 peratus tetapi ada gangguan antaranya Kampung Solok Air Batu, Tanah Merah-Hutan Simpan. Justeru itu, mungkin pendekatan atau cara lain perlu dilakukan bagi mengatasi gangguan,” katanya.
Terdahulu, pada Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas baru-baru ini, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan memaklumkan struktur pembangunan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu telah ditambah baik, sekali gus meningkatkan lagi kualiti capaian telekomunikasi kepada penduduk.
Katanya, peningkatkan kualiti capaian hubungan itu adalah menerusi pembinaan stuktur komunikasi baharu 5G di Kampung Ayer Limau 2 di Jalan Kolam Air, Kampung Seri Terubuk.
Mengulas lanjut Fairul Nizam berkata, turut dilaksanakan adalah pembangunan struktur telekomunilasi 4G secara telekomunikasi ‘Muliti Operator Core Network’ di Kem 96 DPP dan Kampung Baru Lendu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.