Cegah jenayah: MBMB sedia ‘butang panik’ di dua lokasi

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 24 Dis. – Dalam usaha membantu mencegah jenayah, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah menyediakan butang panik (panic button) di dua buah lokasi tumpuan pelancongan di negeri ini.

Pengarah Perancang Bandar MBMB, Zuhaila Ahmad Zubel berkata, dua lokasi tersebut ialah di Jalan Hang Tuah (berhadapan Bank HSBC) dan juga di depan Memorial Kemerdekaan, Banda Hilir.

Ujarnya, butang panik dengan kos berjumlah RM50,000 itu merupakan antara inisiatif yang disediakan dalam usaha memastikan Bandaraya Melaka kekal menjadi bandar selamat yang bebas daripada segala ancaman yang boleh menggugat masyarakat.

“Jika berlaku apa jua kecemasan dalam kawasan Bandaraya Melaka, orang ramai termasuk pelancong boleh menekan butang panik yang disediakan.

“Dari situ, kita boleh berinteraksi melalui kamera kawalan litar tertutup (CCTV) dan pusat kawalan yang berada di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka atau Ibu Pejabat Polis Daerah boleh terus membantu mangsa untuk maklumat lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Town Hall bertajuk Meningkatkan Kadar Keselamatan Kejiranan Menerusi Amalan Pencegahan Jenayah yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Polis Melaka.

Sesi Town Hall itu turut melibatkan Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Sharul Lalli Masduki dan Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Negara Negeri Melaka (JPNIN) Habibah Jaafar sebagai panel.

Selain penyediaan butang panik, Zuhaila berkata, pihak MBMB juga kini dalam usaha menambah bilangan CCTV, selain turut menambah bilangan lampu di kawasan awam sekitar Bandaraya Melaka.

“Sebelum ini kita sudah membelanjakan sekitar RM12 juta untuk pemasangan MBMB di lokasi tumpuan dan kini kita juga dalam proses untuk menambah lagi bilangan CCTV secara berperingkat dengan kos yang menelan belanja RM2 juta.

“Selain itu, kita juga turut memasang lampu Smart LED di kawasan awam yang boleh dikawal dan ditentukan kecerahan serta kemalapannya yang mana ia dipasang di jalan-jalan gelap dan lorong-lorong dalam usaha mencegah berlakunya sebarang aktiviti jenayah,” katanya lagi.

Views:

467
Kongsi :
Previous post Politeknik Merlimau Melaka perbaiki ranking dunia
Next post Peranan SRS akan diperluas di Melaka
Ubah saiz-+=