Peranan SRS akan diperluas di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 24 Dis. – Kumpulan rondaan pada waktu malam yang dikenali sebagai Skim Rondaan Sukarela (SRS) disifatkan antara penyumbang yang banyak membantu mengurangkan kadar jenayah di kawasan kejiranan.

Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Negara Negeri Melaka (JPNIN) Habibah Jaafar berkata, SRS yang ditempatkan di setiap kawasan Rukun Tetangga (KRT) sememangnya memainkan peranan penting dalam bekerjasama dengan pihak polis untuk memastikan taman perumahan dan kampung-kampung sentiasa dalam keadaan selamat.

Menurutnya, selain kampung dan taman perumahan, pihak JPNIN turut menyasarkan SRS akan terus diperluaskan di kawasan lain yang memerlukan khidmat berkenaan pada masa akan datang.

“KRT telah ditubuhkan kerajaan pada 1975 dan pertubuhan tersebut diberi peranan untuk menganjurkan kumpulan-kumpulan rondaan pada waktu malam yang dikenali sebagai SRS untuk mengurangkan kegiatan jenayah di kawasan kejiranan.

“Mereka inilah yang akan bekerjasama dengan pihak polis serta agensi-agensi lain seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam usaha memastikan kawasan kediaman selamat diduduki dan bebas daripada ancaman jenayah.

“Jika dahulu SRS lebih sinonim dengan kawasan kampung, namun kini ia sudah diperluaskan di kawasan taman perumahan dan InsyaAllah ia akan disebar luas ke kawasan lain yang memerlukan peningkatan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Town Hall bertajuk Meningkatkan Kadar Keselamatan Kejiranan Menerusi Amalan Pencegahan Jenayah yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Polis Melaka.

Sesi Town Hall itu turut melibatkan Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Sharul Lalli Masduki dan Pengarah Perancang Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Zuhaila Ahmad Zubel.

Dalam pada itu, Habibah memaklumkan KRT yang diwujudkan tidak hanya berkisarkan kepada SRS sahaja, bahkan ia turut mempunyai pelbagai cawangan dan cabang lain seperti cawangan jiran muda, jiran wanita, jiran warga emas dan tunas jiran.

Kesemua cawangan itu jelasnya mempunyai pelbagai fungsi tersendiri yang mana kesemua mereka juga akan sentiasa diberi pendedahan mengenai keselamatan komuniti.

Views:

966
Kongsi :
Previous post Cegah jenayah: MBMB sedia ‘butang panik’ di dua lokasi
Next post COVID-19: Melaka catat 76 kes positif baharu
Ubah saiz-+=