WhatsApp Image 2022-06-21 at 10.03.56 AM

Cerun runtuh, hakisan undang resah penduduk Taman Muzaffar Shah

AYER KEROH 21 Jun – Runtuhan tebing dan hakisan tanah akibat projek pembangunan di kawasan Taman Muzaffar Shah mengakibatkan kira-kira 500 penduduk taman itu diselubungi kebimbangan sekiranya kejadian itu melarat hingga mengancam nyawa mereka.

Kejadian itu semakin menimbulkan keresahan apabila hakisan itu menghampiri lebih 80 rumah di taman berkenaan dan tangki air.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Komuniti (JPKK) Taman Muzaffar Shah, Ismail Othman berkata penduduk yang tinggal di Jalan Sri Raya 4 dan Jalan Sri Raya 7 mengemukakan aduan dan bantahan mengenai projek pembangunan di kawasan itu sejak awal tahun ini.

Katanya, sejak projek pembangunan itu mula dilaksanakan beberapa bulan lalu dengan penebangan pokok di kawasan itu, pergerakan tanah dan rekahan semakin rancak berlaku terutamanya pada waktu hujan dan perkara itu dibimbangi melarat sehingga kawasan kediaman.

“Sejak dari mula pembinaan projek dilaksanakan, penduduk sering membuat aduan dan bantahan, ketika itu projek belum bermula.

“Bagaimanapun, apabila melihat projek itu semakin rancak, kita lihat keruntuhan tebing mula berlaku dan penduduk risau ia akan melarat dan kemungkinan jika tidak diambil tindakan, berlaku kerosakan dan keretakan rumah,” katanya ketika ditemui di kawasan runtuhan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Komuniti (JPKK) Taman Muzaffar Shah, Ismail Othman

Mengulas lanjut, dia berkata projek pembinaan itu juga dikhuatiri akan membahayakan pengguna jalan raya utama di Lebuh Ayer Keroh berikutan projek berkenaan berdekatan dengan jalan raya terbabit.

Katanya, sebagai langkah awal pencegahan, penduduk mengambil inisiatif memasang kanvas bagi mengurangkan pergerakan tanah di kawasan terbabit.

Hadir sama, Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat kepada Ketua Menteri, Datuk Muhammad Ahyad Abdullah dan Pengerusi Penyelaras Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Keroh, Datuk Mohd Arif Yusa serta wakil Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Pengerusi Penyelaras Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Keroh, Datuk Mohd Arif Yusa

Sementara itu, Mohd Arif Yusa berkata, kawasan projek pembinaan itu juga berhampiran dengan tangki air dan dibimbangi turut memberi kesan sekiranya berlaku pergerakan tanah berterusan.

“Pihak JAPERUN mengemukakan perkara itu untuk perhatian pihak berkuasa termasuk PBT (pihak berkuasa tempatan) dan kerajan negeri dengan mengemukakan bantahan penduduk kerana kekhuatiran projek itu dirasakan memberi impak negatif dan bahaya kepada penduduk terutama dari segi struktur tanah.

“Penduduk juga mempertikaikan kenapa berlaku pertukaran zon daripada zon hijau kepada zon pembangunanan dan perkara ini telah diuruskan oleh PBT.

“Sepatutnya laluan ini tidak digunakan untuk kenderaan berat tetapi berlaku juga sehingga mengakibatkan kerosakan jalan yang baru diturap, itu yang menyebabkan penduduk kurang senang, jadi diminta pihak pemaju membaik pulih cerun dan longkang yang pecah sebagai langkah keselamatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

89
WhatsApp Image 2022-06-21 at 11.23.39 AM Previous post Tajuk-tajuk Utama Akhbar – Selasa 21 Jun 2022
WhatsApp Image 2022-06-21 at 10.03.56 AM (2) Next post Masalah runtuhan tebing, hakisan diperhalusi