Masalah runtuhan tebing, hakisan diperhalusi

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 21 Jun – Pihak pemaju berkaitan projek pembangunan berhampiran Taman Muzaffar Shah yang mengakibatkan cerun runtuh dan hakisan tanah diarahkan untuk mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu.

Setiausaha Hal Ehwal Masyarakat kepada Ketua Menteri, Datuk Muhammad Ahyat Abdullah berkata, permasalahan dihadapi penduduk taman berkenaan mendapat perhatian Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang mengarahkannya dan agensi berkaitan untuk menyelesaikan kebimbangan itu.

Katanya, hasil perbincangan bersama konsultan pihak pemaju dan penduduk taman berkenaan, pihaknya mengarahkan supaya masalah itu diatasi segera terutamanya membabitkan kejadian tanah runtuh di kawasan itu.

“Hari ini, saya mewakili Ketua Menteri melihat lebih dekat perkara yang dibangkitkan penduduk serta kehadiran wakil MPHTJ (Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya), JKR (Jabatan Kerja Raya) dan agensi berkaitan untuk memberi sedikit penjelasan dan penerangan berkiatan perkara itu.

“Alhamdulillah, hasil perbincangan kita, pihak pemaju akan mengambil tindakan hari ini juga untuk mengatasi permasalahan di kawasan ini, khususnya tanah runtuh bagi mengurangkan keluh rasa penduduk,” katanya ketika ditemui di kawasan runtuhan terbabit.

Hadir sama, Pengerusi Penyelaras Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Keroh, Datuk Mohd Arif Yusa dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Komuniti (JPKK) Taman Muzaffar Shah, Ismail Othman serta wakil Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

PERBINCANGAN diadakan bersama pihak berkaitan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya turut mengarahkan agensi berkaitan untuk menyediakan laporan terperinci berhubung masalah itu supaya kerajaan negeri dapat mengambil tindakan selanjutnya.

“Dalam masa sama, MPHTJ dan JKR untuk memberi laporan secara penuh untuk dibentangkan kepada Ketua Menteri supaya laporan itu diperhalusi selain pemantauan dibuat hari demi hari, waktu demi waktu sehingga perkara itu selesai.

“Difahamkan projek berkenaan adalah untuk membina tujuh unit rumah kedai tiga tingkat namun sama ada projek itu dihentikan sementara waktu, saya tidak boleh menjawab persoalan itu.

“Untuk sementara pihak berkaitan perlu mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah terbabit supaya tidak berlarutan,” katanya.

Sebelum ini, kira-kira 500 penduduk Taman Muzaffar Shah diselubungi kebimbangan susulan berlaku runtuhan tebing dan hakisan tanah dipercayai akibat projek pembangunan terbabit.

Kejadian itu semakin menimbulkan keresahan apabila hakisan itu menghampiri lebih 80 rumah di taman berkenaan dan tangki air.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

943
Kongsi :
Previous post Cerun runtuh, hakisan undang resah penduduk Taman Muzaffar Shah
Next post Pengecualian bayaran sewa kantin, premis di sekolah dilanjutkan hingga hujung tahun
Ubah saiz-+=