Covid-19: “Ia umpama kiamat kecil bagi semua” – Rahmad

Masa Membaca:5 Minit, 34 Saat
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Rahmad Mariman

AYER KEROH 13 Julai – Baru sahaja mengangkat sumpah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Melaka, langkah drastik telah diatur bagi menghilangkan keresahan rakyat, tatkala pandemik Covid-19 mula menyerang negara.

Bagi Rahmad Mariman, ia bukannya kerja mudah, satu amanah yang dipertanggungjawabkan itu umpama satu kejutan baharu yang perlu dihadapinya. Mana tidaknya, baru sahaja dititipkan tanggungjawab tersebut, negara pula menghadapi peristiwa hitam dengan penularan yang semakin berganda.

Menerusi wawancara khas bersama Melaka Hari Ini (MHI), Rahmad menjelaskan langkah drastik telah diatur dengan kerjasama pelbagai pihak barisan hadapan dalam isu ini agar rakyat tidak panik dan keliru dengan permasalahan yang melanda.

Baginya, cabaran baru itu tidak diduganya sama sekali, ketika semua diperintahkan agar sentiasa berada di rumah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau bersama pasukan barisan hadapan bertungkus-lumus bagi memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat.

“Ketika pandemik itu mula melanda, ia umpama kiamat kecil bagi semua, saya perlu cari jalan penyelesaian ini bagi membantu rakyat kerana kita ketika itu juga dihimpit kekangan ekonomi, malah ada yang menghadapi kesukaran mendapatkan sumber makanan.

“Menjelang malam, Melaka dilihat begitu sugul dan sunyi, negeri ini diumpamakan seperti dilanggar garuda, namun perjuangan ini masih belum selesai dan sepanjang peristiwa ini saya tidak pernah mengambil cuti, hanya bergerak dari barat ke selatan negeri demi bersama mengatasi masalah ini

“Tambahan pula, ketika kerajaan mengehadkan pergerakan, semua program dibatalkan, kami cari penyelesaian lain untuk mengagihkan makanan ini kepada yang memerlukan dan akhirnya sebanyak 1,500 kit makanan telah disampaikan kepada mereka,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, pelbagai usaha telah diambil bagi mengatasi pandemik yang melanda malah dan memastikan tiada penularan berita palsu yang pastinya mengelirukan rakyat.

“Kerjasama bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Negara (RELA) serta pelbagai lagi telah diatur bagi mengatasi pandemik ini.

“Apa yang penting, melalui garis panduan yang ditetapkan Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) terdapat enam perkara yang perlu dilalui bagi mencapai status hijau dalam penularan ini.

“Kita telah hadapi pelbagai peringkat termasuk dari PKP sehinggalah ke Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan yang keenam itu adalah kriteria di peringkat pendidikan kesihatan komuniti.

“Melalui langkah ini, wujudnya Jawatankuasa Covid-19 dan seterusnya Jawatankuasa Bebas Covid-19 juga diwujudkan bagi memberi kesedaran komuniti dengan pemantauan dan pengawasan oleh peringkat pimpinan akar umbi,” katanya.

Sementara itu, pada 6 Julai lepas, Melaka telah mencapai status Zon Hijau, ia merupakan kejayan terbesar negeri dalam menangani usaha ini.

Malah, hasil kebersamaan rakyat dalam mematuhi pelbagai garis keselamatan melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan turut menyumbang kepada kejayaan berkenaan.

Bagi Rahmat, tanpa kerjasama dan sokongan berterusan ini Melaka tidak akan mencapai status yang dibanggakan, namun beliau memesan ia bukannya penyelesaian terakhir.

Ujarnya, norma baharu yang diperintahkan perlu dikekalkan bagi mengelakkan berlakunya gelombang kedua penularan Covid-19.

“Kita masih belum menang kerana kita belum ada vaksin, apa yang penting usaha yang tidak putus dari kerajaan dan rakyat ini telah menampakkan hasilnya.

“Apa pun, kita perlu patuh dengan SOP, amalkan gaya hidup norma baharu dan yang paling penting jagalah penjarakan sosial dan jika mahu ke mana-mana premis lakukanlah pendaftaran bagi memudahkan kita menjejak jika penularan in berlaku lagi,” tambahnya.

MELAKA nekad membasmi najis dadah dari terus menular.

SASAR SIFAR DADAH

TIDAK cukup dengan bencana Covid-19, Rahmad juga nekad menjadikan Melaka sebagai negeri sifar dadah.

Menurutnya, usaha itu akan digandakan dalam mendepani cabaran tersebut dan pihaknya akan sentiasa bekerjasama dengan semua pihak khususnya Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi membendung musuh nombor satu negara itu.

“Bagi mencapai negeri sifar dadah adalah satu cabaran hebat, namun jika kadar permasalahan dadah dapat diturunkan dari 50 peratus ke kadar biasa, ia adalah pencapaian yang perlu dibanggakan.

“Kerajaan negeri akan cuba sebaiknya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan AADK, malah saya bersedia bekerjasama dengan mereka untuk turun padang tanpa mengira masa siang dan malam demi menuju negeri sifar dadah.

“Perkara ini perlu dipandang serius, malah saya juga telah berbincang bersama AADK agar lebih agresif bagi menjalankan pemburuan dan tangkapan terhadap kes yang berlaku ini,” katanya.

Pada masa sama, menurut Rahmad sebanyak 10 lokasi yang merupakan kawasan berisiko tinggi dicatatkan di negeri ini dan pelbagai pergerakkan telah dijalankan dalam membendung isu dadah di Melaka.

“Kita bekerjasama bersama AADK, PDRM dan badan bukan kerajaan (NGO) dengan menekankan konsep komuniti dan pemerkasaan (empowerment) dengan pendidikan dan latihan mengenai isu dadah.

“Malah bagi individu yang berada di bawah status Orang Kena Pengawasan (OKP) ini tidak dibiarkan begitu sahaja, namun kita akan pastikan kehidupan mereka dibimbing demi kebajikan bagi membangunkan sara hidup, ekonomi dan keluarga mereka sendiri.

“Masyarakat pula janganlah meletakkan mereka sebagai rakyat kelas kedua tapi kita perlu ada kebersamaan agar mereka lebih yakin dan tidak kecundang lagi dengan najis dadah ini.

“Kita perlu bersama dalam hal ini, tidak perlu ada perbezaan darjat, malah jika mereka rasa dihargai semangat mereka untuk pulih akan meningkat disebabkan motivasi dan bimbingan yang diberikan kita sendiri,” katanya.

SEMBURAN asap antara kaedah yang kerap dilakukan bagi menangani nyamuk Aedes.

BASMI DENGGI ANTARA AGENDA DIRANCANG

PENINGKATAN sebanyak 20.22 peratus direkodkan terhadap wabak denggi berlaku di negeri ini, biarpun penularan pandemik Covid-19 melanda.

Rahmad berkata, peningkatan sebanyak 1,320 kes direkodkan pada dari awal tahun hingga Julai 2020 daripada perbandingan kumulatif dalam tempoh sama pada 2019 iaitu sebanyak 1,098 kes dicatatkan.

Sehubungan itu pihaknya memandang serius terhadap perkara tersebut, malah menekankan pelbagai langkah pencegahan bagi memastikan wabak tersebut mampu dikawal di negeri ini.

“Sepatutnya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semua orang duduk di rumah, namun kes denggi pula semakin meningkat.

“Jadi bagi mengatasi masalah ini, kerajaan negeri akan mengambil pelbagai inisiatif bagi membendung wabak denggi dengan mempertingkatkan lagi pelbagai langkah termasuk kaedah semburan dan kempen pendidikan yang perlu diterapkan rakyat.

“Apa yang lebih menjadi fokus utama adalah kita akan mempertingkatkan pelbagai aktiviti gotong royong di seluruh negeri berhubung permasalahan ini,” katanya.

Dalam pada itu, pelbagai langkah lain juga telah diambil kerajaan negeri dengan mewujudkan Jawatankuasa Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) bagi mempertingkatkan permasalahan berkenaan.

“Kita wujudkan COMBI ini yang juga disatukan dengan Jawatankuasa Bebas Covid-19 melalui kepimpinan peringkat akar umbi iaitu Jawatankuasa Pengurusan Komunit Kampung (JPKK) bagi memberi perhatian agar peka dengan isu denggi.

“Pelbagai tindakan juga telah diambil termasuk mengenakan kompaun kepada penghuni rumah yang sengaja, mahupun tidak dalam membiarkan pembiakan nyamuk Aedes.

“Apa yang penting penglibatan orang ramai amat penting dalam perkara ini, ia nampak mudah tetapi ia sukar dilaksanakan masyarakat dan sebab itulah kita perlu wujudkan pendidikan komuniti ini agar kesedaran ini berterusan kepada orang ramai,” katanya.

Views:

444
Kongsi :
Previous post Hotel MITC tawar pakej menarik
Next post ADUN Asahan tak cuti demi rakyat
Ubah saiz-+=