COVID-19: Kes baharu catat sedikit penurunan – Dr Noor Hisham

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

KUALA LUMPUR, 25 Jan – Kes harian positif COVID-19 mencatatkan sedikit penurunan hari ini, iaitu 3,048 kes berbanding 3,346 kes semalam dan 4,275 kes pada Sabtu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah kes positif baharu hari ini, lapan kes adalah kes import manakala selebihnya 3,040 adalah kes tempatan.

Dr Noor Hisham dalam kenyataannya mengenai perkembangan COVID-19 berkata, dengan kes baharu yang dicatatkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di negara kepada 186,849 kes.

Beliau berkata kes sembuh COVID-19 yang direkodkan pada hari ini ialah 3,638 kes sekali gus mengatasi kes baharu.

Jumlah kematian yang dicatatkan pada hari ini ialah sebanyak 11 kes iaitu tiga di Sabah, masing-masing dua kes di Selangor dan Sarawak, masing-masing satu kes di Kelantan, Pahang, Perak dan Kuala Lumpur, katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kes aktif COVID-19 dalam negara kini adalah sebanyak 41,076 kes dengan 261 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 101 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi pada hari ini iaitu sebanyak 1,035 kes diikuti Johor (529 kes) dan Sabah (348 kes).

Katanya, Kementerian Kesihatan mengenal pasti 13 kluster baharu hari ini, melibatkan lapan kluster berkaitan tempat kerja, tiga kluster komuniti dan dua kluster melibatkan kumpulan berisiko.

Dr Noor Hisham berkata dari jumlah keseluruhan lapan kluster baharu berkaitan tempat kerja, tiga dikesan di Selangor, dua di Johor dan masing-masing satu di Sabah, Kuala Lumpur dan Terengganu.

Bagi kluster komuniti pula, satu kluster dikenal pasti di Johor dan dua kluster lagi di Pahang, manakala bagi kluster kumpulan berisiko masing-masing satu kluster dikesan di Melaka dan Kelantan. – BERNAMA

Views:

483
Kongsi :
Previous post ‘Saya silap tidak pakai baju lengan panjang’
Next post Wang wasiat RM2 juta lesap ditipu ‘polis berpangkat Datuk’
Ubah saiz-+=