‘Saya silap tidak pakai baju lengan panjang’

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

TANJUNG BIDARA 25 Jan. – Lelaki warga emas yang ditularkan dalam laman sosial memakai gelang merah jambu ketika mengisi minyak kereta kelmarin, menjelaskan dia tidak berniat menakutkan orang ramai berkaitan jangkitan COVID-19.

Sulong Salleh, 69, malah mengakui kesilapan tidak tidak memakai baju lengan panjang untuk melindungi gelang itu sehingga gambarnya dirakam individu tertentu.

Ujarnya, ketika kejadian jam 9 pagi itu, dia bersama isteri, Zaharah Tang, 53, dan anak bongsu, Ikmal Haziq, 15, mahu ke Hospital Alor Gajah (HAG) berikutan tempoh kuarantin kendiri di rumah sejak 13 Januari lalu tamat.

“Kami menjalani ujian calitan di Klinik Kesihatan Masjid Tanah pada 13 Januari lalu berikutan anak perempuan saya, Puteri Liana, 17, disahkan positif COVID-19 pada tarikh berkenaan hasil ujian calitan yang dijalaninya di klinik itu pada 8 Januari lalu.

“Dia dibawa ke Hospital Melaka pada 13 Januari lalu sebelum dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang pada keesokannya.

“Anak saya tidak bergejala apabila disahkan positif COVID-19 kerana ada kontak rapat dengan rakannya di sebuah kampung di Pengkalan Balak dan berada di MAEPS selama tiga hari sebelum dibenarkan pulang pada 18 Januari,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Pengkalan
Balak, di sini hari ini.

Sementara itu, Sulong tidak menyalahkan seratus peratus pihak yang merakamkan gambar itu kerana mengakui dia sendiri turut melakukan kesilapan tidak melindungi gelang itu dengan baju lengan panjang.

Bapa kepada enam anak berusia antara 15 hingga 33 tahun itu berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan oleh Puteri Liana, gambarnya memakai gelang tular dalam laman sosial sejak petang kelmarin.

“Saya membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah pada jam 1 petang semalam untuk membersihkan nama keluarga dan berharap pihak yang menularkan dan sesiapa yang berkongsi gambar itu memadamkannya,” katanya.

Bagaimanapun, dia sekeluarga bersyukur kerana disahkan negatif COVID-19 dan berharap sesiapa yang memakai gelang merah jambu supaya mengambil langkah perlu melindunginya ketika dalam perjalanan untuk membuka gelang di hospital.

Views:

501
Kongsi :
Previous post Menjelang pengisytiharan Daerah Masjid Tanah, kerja pemasangan papan tanda giat dijalankan
Next post COVID-19: Kes baharu catat sedikit penurunan – Dr Noor Hisham
Ubah saiz-+=