Menjelang pengisytiharan Daerah Masjid Tanah, kerja pemasangan papan tanda giat dijalankan

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

MASJID TANAH 25 Jan. – Menjelang pengisytiharan Daerah Masjid Tanah Jumaat ini, kerja pemasangan papan tanda pusat pentadbiran kerajaan negeri giat dijalankan.

Tinjauan mendapati pemasangan papan tanda itu dibuat di Bangunan Tabung Haji, hari ini bermula 7.30 pagi tadi dan berakhir pada jam 10 pagi.

Pegawai Daerah Alor Gajah, Rahizi Ranom berkata, majlis pengumuman Daerah Masjid Tanah itu tertakluk kepada keadaan semasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) berikutan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19.

“Selain Pejabat Daerah Tanah (PDT) Alor Gajah, bangunan terbabit bakal dilengkapi pelbagai pejabat agensi kerajaan negeri.

“Namun setakat ini perkara itu dalam proses perancangan kerajaan negeri bagi menentukan agensi mana yang akan beroperasi di kawasan terbabit,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Katanya, perkhidmatan yang ditawarkan PDT Alor Gajah di bangunan terbabit termasuk menyediakan perkhidmatan kaunter dan akan beroperasi sebaik kerja pengubahsuaian siap.

“Setakat ini PDT Alor Gajah hanya menggunakan perkhidmatan van bergerak diletakkan dalam kawasan bangunan itu dengan dibantu kira-kira 15 kakitangan.

“Perkhidmatan kaunter yang disediakan dijangka memerlukan 100 pekerja baharu yang pastinya akan membuka peluang pekerjaan dalam kawasan ini,” katanya.

Terdahulu rancangan membina daerah baharu yang diusulkan sejak 1990-an itu diluluskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tahun lalu dan kini dokumentasinya sedang diperincikan termasuk soal persempadanan jajaran antara daerah di kawasan itu.

Views:

1226
Kongsi :
Previous post MBMB salur RM3.23 juta selenggara sistem perparitan di kawasan ‘hotspot’ banjir kilat
Next post ‘Saya silap tidak pakai baju lengan panjang’
Ubah saiz-+=