Covid-19: Melaka kembali ke Zon Kuning

MELAKA kembali ke Zon Kuning, selepas merekodkan satu kes tempatan.

AYER KEROH 13 Julai – Melaka kembali ke Zon Kuning Covid-19 selepas mencatat satu kes tempatan baharu, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman mengesahkan kes tempatan tersebut dicatatkan di Daerah Alor Gajah.

“Hari ini satu kes baru tempatan Covid-19 (dicatatkan) di Durian Tunggal (Daerah Alor Gajah). (Kes ini dilaporkan berlaku) dari kontak rapat kes import positif,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dalam kenyataan hari ini mengesahkan wujudnya satu kluster baharu yang dikesan di Melaka yang dikenali sebagai kluster pesakit di bawah pemantauan (PUI) Novgorod.

Kluster itu dikenalpasti apabila terdapat kes ketiga yang dikesan positif Covid-19 hasil saringan kontak rapat kepada kes kedua bagi kluster ini.

Kes pertama kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia (iaitu kes ke-8,673) yang telah pulang ke Malaysia dari Negara Rusia pada 5 Julai 2020.

Keputusan saringan Covid-19 di Pintu Masuk Antarabangsa didapati positif dan beliau kemudiannya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Kes kedua kluster ini iaitu kes ke-8,718 merupakan rakan kepada kes ke-8,673. Mereka telah menaiki pesawat yang sama, juga pada 5 Julai 2020.

Kes ketiga pula melibatkan seorang daripada ahli keluarga iaitu bapa kepada kes 8,718 yang datang menjemputnya di lapangan terbang pada 6 Julai 2020.

Difahamkan seramai empat orang ahli keluarga telah datang bersama-sama menaiki kenderaan sendiri menjemput kes 8,718 di pintu masuk antarabangsa dan kesemua mereka telah disaring.

Untuk rekod, Melaka baru sahaja diisytihar zon hijau Covid-19 pada 6 Julai lalu selepas tidak mencatat sebarang kes positif Covid-19 selama 14 hari berturut-turut.

Orang ramai dinasihati untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu mengamalkan penjarakan sosial serta sentiasa memakai pelitup muka dan hidung apabila berada di tempat tumpuan.

Views:

2
Previous post Anggota tentera maut terbabit kemalangan
Next post PERZIM cadang tukar nama Bukit St Paul