COVID-19 tak halang kerajaan perkasa mutu perkhidmatan – PM

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 28 Dis – Meskipun berdepan cabaran menghapuskan wabak COVID-19, ia tidak menghalang usaha kerajaan untuk memperkasakan sektor awam sekaligus memastikan sistem perkhidmatan yang cekap, telus dan mesra rakyat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, bagi memastikan mutu perkhidmatan disampaikan secara efektif kepada golongan bersasar selain meningkatkan produktiviti kerja, penjawat awam bertanggungjawab untuk membudayakan norma baharu dalam cara kerja kepada golongan bersasar selain meningkatkan produktiviti kerja.

“Di peringkat kerajaan, bagi memastikan kecekapan dan ketelusan pengurusan pentadbiran, saya telah menekankan inisiatif untuk menambah baik aspek integriti dan tadbir urus kerajaan, misalnya dilakukan melalui usaha membanteras amalan rasuah.

“Oleh kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) merupakan antara warga kerja barisan hadapan yang sering terdedah dengan tarikan rasuah, maka usaha membanteras jenayah itu perlu dikekalkan sebagai agenda penting yang perlu dilaksanakan meluas dalam kalangan PBT.

“Ini supaya kita dapat mewujudkan sebuah budaya kerja yang berintegriti tanpa berkompromi dengan mana-mana nilai dan etika,”katanya.

PRESIDEN ANULAE, Datuk Azih Muda (dua dari kanan) bersama Presiden CUEPACS, Adnan Mat (kanan) beramah mesra bersama wakil dari Majlis Daerah yang menerima sijil penganugerahan sistem penarafan bintang pihak berkuasa tempatan pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Tritahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) Kali Ke-27 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini. Foto: MR. Azli

Beliau berkata demikian dalam ucapan menerusi rakaman video ketika melancarkan Persidangan Perwakilan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja PBT Semenanjung Malaysia (ANULAE) ke-27 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin turut menyeru supaya PBT dan agensi berkaitan turun ke lapangan lebih kerap bagi meninjau dan memahami keadaan semasa.

“Ini termasuk meneliti isu berhubung warga kakitangan mereka yang saban tahun bertemu orang ramai untuk menyelesaikan urusan seharian.

“Saya sedar dan prihatin terhadap kebajikan para penjawat awam termasuk barisan petugas hadapan yang turut menjadi sebahagian daripada anggota kakitangan awam yang menggadaikan masa dan tenaga untuk melindungi kita sewaktu pandemik ini,” katanya.

Views:

415
Kongsi :
Previous post Lebih 30 ‘penyu karah’ menunggu pelancong di Pengkalan Balak
Next post Ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai RM14 juta dirampas
Ubah saiz-+=