Lebih 30 ‘penyu karah’ menunggu pelancong di Pengkalan Balak

Masa Membaca:2 Minit, 21 Saat

TANJUNG BIDARA 29 Dis. – Kehadiran 10 ‘penyu karah’ dan 20 telur haiwan itu mengejutkan pengunjung pantai peranginan Pengkalan Balak, Masjid Tanah yang terpesona menyaksikan ia mendarat di pantai itu mencari lokasi sesuai untuk bertelur.

Mereka juga gembira menyaksikan 20 ‘anak’ penyu karah yang baharu menetas selepas dieram 60 hari dalam pasir pantai itu, selain keindahan pemandangan ketika matahari terbenam di ufuk Barat.

Segala pemandangan indah itu disaksikan mereka ketika sekumpulan petugas syarikat Ciptra Bina Enterprise yang diketuai pemiliknya, Datuk Riduwan Mohd Said, 42, memasang replika penyu, telur penyu dan anak penyu baharu menetas di pantai itu lewat petang semalam.

REPLIKA penyu karah dan telur penyu serta anak penyu baharu menetas menarik perhatian pelancong di Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka. / Foto DIN AHMAD

Riduwan berkata, replika diperbuat daripada gentian kaca di kilangnya di Ayer Keroh dicipta mengikut spesifikasi penyu karah yang dipulihara di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Padang Kemunting, di sini.

“Kami melaksanakan tugas diberikan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) untuk memperindah pantai peranginan ini dengan replika penyu karah dan anak penyu karah sebagai satu daripada daya tarikan utama industri pelancongan.

“Alhamdulillah, kami menyiapkannya dalam tempoh tiga minggu dan insya-Allah ia mampu menghadapi cuaca panas dan hujan serta tempias air laut ketika ombak besar,” katanya ketika ditemui di pantai itu.

PETUGAS meletakkan replika penyu karah dan telur penyu diperbuat daripada gentian kaca di Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka. / Foto DIN AHMAD

Sementara itu, Yang Dipertua MPAG, Mohd Fadzil Hassan berkata, sebanyak RM20,000 diperuntukkan MPAG bagi menyediakan replika berkenaan sebagai satu daripada usaha memajukan industri pelancongan di pantai itu.

“Pantai Peranginan Pengkalan Balak dipilih kerana ia adalah satu daripada pantai di Melaka barat yang menjadi tumpuan penyu karah naik untuk bertelur.

“MPAG akan menambah baik landskap di sekitar replika itu khususnya dan pantai berkenaan secara keseluruhannya bagi menarik lebih ramai pelancong mengunjunginya,” katanya.

Pengunjung, Siti Rahmah Othman, 35, berkata beliau terpegun menyaksikan keindahan pemandangan di pantai itu yang dihiasi dengan kehadiran ‘penyu’ karah dan ‘anak’ penyu yang baharu menjengukkan kepalanya melihat dunia.

“Ia sangat cantik, terutama ketika matahari terbenam dan saya mengabadikan pemandangan indah itu melalui gambar yang saya hantar ke Facebook,” katanya.

Berdasarkan rekod Jabatan Perikanan Melaka, sebanyak 182 pendaratan penyu dicatatkan di negeri ini dari Januari hingga Mei lalu, berbanding hanya 106 dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Purata antara 400 hingga 500 sarang penyu karah dicatatkan di negeri ini setahun dengan Pantai Padang Kemunting mencatatkan lebih 100 pendaratan, iaitu yang tertinggi berbanding di kawasan lain, sekali gus menjadikannya menyumbang 25 hingga 30 peratus daripada keseluruhan pendaratan di negeri ini.

Sebanyak 4,595 sarang telur penyu dicatatkan di Melaka dari 2009 hingga 2018 dan menjadikan pantai di negeri ini sebagai lokasi pendaratan penyu karah tertinggi di Semenanjung.

Views:

2772
Kongsi :
Previous post Elak rasuah: PPSPM tingkat integriti kakitangan
Next post COVID-19 tak halang kerajaan perkasa mutu perkhidmatan – PM
Ubah saiz-+=