COVID-19: Terpaksa mohon makanan kerana tidak pandai memasak

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

PANTAI KUNDOR 2 Jun – Akibat tidak pandai memasak, selain runsing isteri dirawat di Hospital Melaka akibat positif COVID-19, bapa kepada empat anak terpaksa meminta bantuan makanan.

Beliau terpaksa meminta bantuan itu daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Pantai Kundor, Tanjung Kling di sini.

Syarafudin Ismail, 32, terpaksa berbuat demikian kerana dia dan empat anak berusia antara enam hingga 12 tahun sedang menjalani kuarantin kendiri manakala isteri, Siti Khadijah Nazri, 31, sedang dirawat di Hospital Melaka kerana disahkan positif COVID-19.

Pemandu lori terbabit berkata, dia terpaksa meminta bantuan JAPERUN berkenaan selepas dipakaikan gelang merah jambu sejurus selepas menjalani ujian calitan di Klinik Kesihatan Tanjung Kling pagi semalam.

“Isteri saya dimasukkan ke hospital Ahad lalu selepas disahkan positif COVID-19 dan selepas itu saya dan anak dikehendaki menjalani ujian calitan serta bakal mendapat keputusan lusa atau tulat.

“Saya terpaksa menghubungi JAPERUN untuk mendapatkan makanan kerana saya tidak tahu masak dan syukur alhamdulillah, pagi tadi petugas JAPERUN menghantar sarapan untuk kami,” katanya ketika dihubungi di kediamannya di Kampung Gelam, Tanjung Kling.

Katanya, dalam keadaan runsing memikirkan keadaan isteri yang sedang bertarung dengan pandemik berbahaya, menyebabkan dia tidak sempat menyediakan makanan untuk anak, apatah lagi hanya pandai memasak nasi dan menggoreng telur.

Sehubungan itu, beliau amat bersyukur kerana petugas JAPERUN berjanji menghantar lauk pauk kepadanya untuk makan tengah hari dan malam sementara dia sendiri memasak nasi.

“Saya amat berharap sumbangan itu dapat diteruskan hingga keputusan ujian calitan diperoleh sama lusa atau tulat dan saya yakin negatif,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan berkata, bantuan bahan makanan yang sudah dimasak diberikan kepada Syarafudin sekeluarga kerana ketua keluarga terbabit tidak tahu memasak.

“Insya-Allah bantuan diberikan selagi dia belum mendapat keputusan ujian calitan dan apa sahaja keputusan itu akan diteliti untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, selain keluarga berkenaan, JAPERUN Pantai Kundor turut menyampaikan sumbangan bahan makanan untuk keluarga lain yang menjalani kuarantin kendiri di kediaman masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

682
Kongsi :
Previous post Program Penjana KP CAP @ State fokus anak Melaka tiada pekerjaan
Next post ‘Ngengayau’ lah lagi! Hari pertama ‘total lockdown’ dah 24 kompaun
Ubah saiz-+=