‘Ngengayau’ lah lagi! Hari pertama ‘total lockdown’ dah 24 kompaun

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 2 Jun – Dalam tempoh 24 jam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sepenuhnya, sebanyak 24 kompaun dikeluarkan polis Melaka atas pelbagai kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, daripada jumlah itu tujuh individu dikesan tidak memakai pelitup muka manakala tujuh lagi memberikan alasan tidak munasabah untuk keluar rumah.

Katanya, 10 lagi kompaun dikeluarkan kepada individu yang melakukan aktiviti rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran yang dikesan di sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini.

“Antara alasan dikemukakan bagi kesalahan keluar rumah tanpa alasan termasuk mendapatkan bekalan barang keperluan sedangkan SOP menetapkan radius perjalanan tidak lebih 10 kilometer selain ada yang masih memberikan alasan melawat keluarga.

“Kita juga kesal kerana tujuh daripada jumlah kompaun yang dikeluarkan itu tidak memakai pelitup muka di tempat awam setelah lebih setahun COVID-19 melanda negara dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sidang media rampasan dadah bernilai RM7.2 juta di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata dalam tempoh itu pihaknya mendapati kira-kira 18,000 kenderaan berada di jalan raya iaitu berkurangan kepada 60 peratus daripada biasa.

“Daripada jumlah kenderaan itu, 48 daripadanya diarahkan berpatah balik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi memastikan penguatkuasaan dijalankan 24 jam dalam tempoh PKP 3.0 sepenuhnya, pihaknya mengambil inisiatif untuk meningkatkan aktiviti pemantauan dengan menambah pasukan Taming Sari dalam 19 pasukan pemantauan SOP.

Jelasnya, selain menjalankan penguatkuasaan cegah jenayah, pasukan yang menggunakan lima motosikal Kawasaki KLX150 itu akan menjalankan penguatkuasaan kepada individu ingkar SOP.

“Apabila kita mendapat aduan daripada masyarakat berkaitan pelanggaran SOP, tindakan segera diambil oleh pasukan itu (skuad Taming Sari),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

395
Kongsi :
Previous post COVID-19: Terpaksa mohon makanan kerana tidak pandai memasak
Next post Bantuan untuk B40 memang wajar
Ubah saiz-+=