COVID: Kes baharu kekal lebih 9,000 kes

0
250

KUALA LUMPUR 11 Julai – Kes harian baharu COVID-19 di negara ini kekal mencatatkan angka melepasi 9,000 dengan 9,105 kes dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 836,296.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui laman Twitternya berkata, Selangor kekal mencatat kes harian tertinggi dengan 4,682 kes diikuti Kuala Lumpur 1,247; Negeri Sembilan (541); Johor (392); Kedah (382) dan 300 kes di Pahang.

Melaka pula mencatatkan 278 kes; Sabah (271); Sarawak (270), Pulau Pinang (243); Perak (207); Kelantan (150); Labuan (54); Putrajaya (49); Terengganu (38) dan satu kes di Perlis.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam kenyataannya pula memaklumkan daripada 9,105 kes baharu itu, 18 adalah kes import manakala 9,087 kes tempatan.

Beliau berkata sebanyak 5,194 kes sembuh dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatifnya meningkat kepada 742,297 kes.

“Kes aktif kini mencatatkan 87,841 manakala jumlah pesakit COVID-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) seramai 961 orang dengan 455 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan 91 lagi kematian akibat COVID-19 dilaporkan membabitkan 86 warganegara dan lima warga asing berusia antara 24 hingga 92 tahun dengan majoriti daripadanya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi, sekali gus menjadikan angka keseluruhan korban kini 6,158 orang.

“Daripada jumlah itu, 34 kematian adalah di Selangor; 21 kes (Kuala Lumpur); 12 (Negeri Sembilan); lapan (Melaka); enam (Johor); tiga (Pahang), dua (Kelantan) serta masing-masing satu kes di Sarawak, Pulau Pinang, Perak, Kedah, dan Labuan,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 19 kluster baharu turut dikesan hari ini dengan 13 daripadanya penularan di tempat kerja, lima kluster komuniti dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Kluster tempat kerja yang direkodkan ialah tiga di Selangor iaitu Industri Jalan Rukun, Industri Jalan Subang 13 dan Jalan Industri Dua Rawang.

Tiga kluster sama juga dikesan di Johor melibatkan Jalan Cengal, Cahaya Yong Peng dan Jalan Dedap 13; dua di Kuala Lumpur (Jalan Pantai Baharu dan Jalan Sri Hartamas Satu); dua di Kelantan (Kampung Perangkap dan Bandar Baru Tunjong) dan masing-masing satu di Sabah (Kayu Patikang); Perak (Tapak Bina Solar Beriah) dan Pulau Pinang (Tapak Bina Jalan Thean Teik).

Kluster komuniti pula membabitkan kawasan Batu Muda, Kampung Padang Balang dan Taman Koperasi Polis di Kuala Lumpur; Melor Intan (Perak) dan Jalan Mawar Belitong (Johor) manakala kluster kumpulan berisiko tinggi Jalan Awan Cempaka (Kuala Lumpur).

“Perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster adalah 3,077 dengan 865 kluster aktif,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.